Pemilik akaun Facebook Ayea Yea, Alister Cogia, 22, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan masing-masing lima pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Alister dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhannya 10 tahun manakala untuk pertuduhan mengikut Seksyen 233 AKMM 1998, dia didenda RM10,000 bagi setiap pertuduhan atau nilai ke­seluruhannya RM50,000.

Bagaimanapun individu yang berasal dari Singai, Bau itu gagal membayar denda RM50,000 tersebut dan dikenakan tambahan 10 bulan penjara.

Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.

Terdahulu, individu itu yang telah memuat naik komen berunsur menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW di Facebook pada pukul 7.11 petang pada 9 Februari, 10 Februari (12.56 pagi), 14 Februari (1.28 pagi) 24 Februari (10 malam dan 10.05 malam sebelum) ditahan di sebuah rumah di Singai pada 3 Mac lalu kira-kira pukul 12.15 pagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya turut memfailkan pertuduhan terhadap tiga lagi pemilik akaun media sosial semalam atas kesalahan sama.

Menurut beliau, kesemua tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKMM 1998.

“Bagi pemilik akaun Twitter ‘Alvin Chow’ dan pemilik akaun Facebook, Danny A’antonio Jr. yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pemilik akaun Facebook ‘Yazid Kong’ pula, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 233 AKMM, tertuduh mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac 2019,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, butiran peruntukan yang diguna pakai adalah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Ujarnya, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pula merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golo­ngan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Seksyen 233 AKMM 1998 pula berkait penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang provokasi ke­rana tindakan itu mampu menyentuh sensitiviti agama dan perkauman sehingga membangkitkan ketegangan kaum di negara ini,” katanya.