Permohonan maaf itu adalah berhubung saman yang dikemukakan bekas pegawai keselamatan, Placid P. Rodriguez, 71, yang separa buta dan separa pekak terhadap Nur Dhia Liyana, 25, yang dinamakan sebagai defendan.


Hakim Lalilatul Zuraida [email protected] memutuskan demikian dalam kamar hakim di sini selepas membenarkan saman yang Rodriguez selaku pihak plaintif pada 6 Disember 2017.


Mahkamah turut memerintahkan defendan membuat permohonan maaf secara bertulis dan perlu disiarkan di media cetak tempatan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Peguam, Datuk Dr. S. Arunan ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,088 iaitu ganti rugi am RM1,000 dan ganti rugi khas sebanyak RM88.

“Malah, pihak defendan juga perlu membayar RM1,000 untuk kos. Saman ini difailkan bukanlah untuk menuntut wang semata-mata tetapi lebih kepada menuntut keadilan dan apa yang lebih penting, defendan perlu memohon maaf kepada anak guam saya,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 6 Julai 2017, ketika dia pulang dari kerja dengan menaiki LRT menuju ke Putra Heights dan setibanya di stesen tersebut, dia terlebih dahulu membenarkan penumpang lain untuk turun daripada LRT tersebut.

Ketika berjalan di platform itu, plaintif yang memakai alat bantuan pendengaran mendakwa telah ditolak, dimarahi, diserang, serang sentuh di kaki kiri dan kanannya selain dilemparkan kata-kata dan jeritan yang memalukan di khalayak ramai oleh defendan.

Akibat perbuatan defendan, plaintif mengalami kesakitan dan turut mengalami tekanan mental dan emosi serta trauma untuk keluar bersendirian kerana takut kejadian sama berulang.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Nur Dhia Liyana dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini atas pertuduhan mencederakan Rodriguez selepas representasi bagi menggugurkan pertuduhan diterima. - UTUSAN ONLINE.