Lokman Noor Adam

Lokman, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau diberitahu mengenai rancangan dan gerakan untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamed Ezam Mohd. Nor.

Katanya pertemuan itu, bekas senator tersebut telah memaklumkan kepadanya, Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri sudah tidak sehaluan lagi dengan Dr. Mahathir dalam politik dan polisi ekonomi.

Menurut Lokman, beliau dibe­ritahu oleh Mohamed Ezam, Anwar bersedia untuk bertanding merebut kerusi Presiden UMNO itu.

“Mohamed Ezam juga memujuk kami untuk menjadi sebahagian daripada pakatan tersebut,” dakwa beliau ketika memberi keterangan sebagai saksi yang disapina bagi pihak Khairy Jama­luddin pada perbicaraan kes saman Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan itu atas dakwaan memfitnah.

Saksi keempat pihak defendan itu ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau percaya gerakan untuk menggulingkan Dr. Mahathir bukan ‘didalangi’ oleh Mohamed Ezam sahaja.

“Saya menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada tahun yang sama, Anwar dalam ucapannya menyatakan sokongan penuh kepada Dr. Mahathir. Namun di belakang, Anwar minta ‘jenteranya’ menyokongnya untuk menentang Dr. Mahathir.

“Mohamed Ezam juga me­minta kami menjadi sebaha­gian daripada jen­tera tersebut dengan memberikan beberapa ala­san. Apa yang saya de­ngar daripada Anwar adalah berbeza sama sekali. Di depan dia kata memberi sokongan penuh tetapi di belakang lain pula,” ujar Lokman dengan nada penuh semangat.

Menurut saksi itu lagi, beliau kemudiannya bertemu Jais Sardi iaitu pegawai khas kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO.

Lokman berkata, ini kerana beliau percaya Jais rapat dengan Ahmad Zahid jika tidak dia tidak akan dilantik sebagai pegawai khas kepada Ahmad Zahid.

Tujuan bertemu Jais, menurut Lokman, adalah untuk mengesahkan dakwaan bahawa Anwar mahu menggulingkan Dr. Maha­thir dan juga adakah gerakan tersebut dibuat oleh Mohamed Ezam sendiri.

Menurut Lokman, Jais telah menjelaskan, Anwar juga menyebut perkara yang sama (menentang Dr. Mahathir) dan perkara itu berlaku 18 tahun yang lalu.

Katanya, beliau telah diarahkan oleh Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang ketika itu Setia­usaha Pemuda UMNO supaya per­gi ke kediaman rasmi Anwar pada 2 September 1998 ketika bekas Ketua Pembangkang itu dipecat.

Lokman berkata, beliau telah dipecat daripada PKR selepas mengkritik kepemimpinan Moha­med Ezam dan Presiden parti itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atas tindakan berjumpa de­­ngan penyangak mata wang, George Soros bagi mendapatkan dana untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2004.

Sepanjang memberikan ke­terangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azizul Azmi Adnan, Lokman dilihat berkali-kali mencelah dengan nada bersema­ngat meskipun Muhammad Shafee tidak bertanya kepadanya.

Pada suatu tahap peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar membantah apa yang diperkatakan oleh saksi itu kerana bagi pihak plaintif keterangan tersebut terjumlah kepada keterangan dengar cakap (hearsay).

Anwar yang dikawal oleh bebe­rapa warden Penjara Sungai Buloh pula sesekali kelihatan tersenyum mendengar keterangan Lok­man.

Anwar memfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 bagi menuntut ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa menteri tersebut yang ketika itu Naib Ke­tua Pemuda UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk Anwar and kin no threat disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Anwar selaku pihak plaintif mendakwa klip video itu mengan­dungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah dilafazkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai di ibu negara pada atau sekitar 20 Februari 2008.

Perbicaraan bersambung Kha­mis ini.