Bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ancaman itu juga boleh datang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk melakukan pelbagai perkara. Saya tidak maksudkan nyawa saya, itu terlalu ekstrem. Apa yang saya maksudkan ialah kehidupan saya, kelangsungan hidup saya seharian. Saya juga tidak tahu macam mana reaksi Jho Low (kalau tidak buka akaun) kerana saya tidak atau apa yang Jho Low dan Datuk Seri Najib sering bincangkan. Ini adalah nasihat dari Datuk Seri Alin selepas kami berbincang panjang,” katanya.

Saksi tersebut berkata demikian bagi menjawab soal balas daripada peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kelima perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Semalam Amhari Efendi memberitahu, beliau dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Datuk Seri Azlin Alias terpaksa mengikut arahan Jho Low untuk membuka akaun luar negara kerana takut kehilangan kerja dan boleh mendatangkan ancaman kepada mere dan keluarga mereka.

Terdahulu, saksi berkenaan menafikan bahawa wang berjumlah lebih AS$800,000 adalah upah untuk dirinya daripada Jho Low kerana membantu ahli perniagaan terbabit menjalankan beberapa transaksi.

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Beliau juga didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion.

Perbicaraan sesi soal balas terhadap Amhari Afendi masih berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - UTUSAN ONLINE