Menurut saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 24 Julai lalu, Kerajaan selaku plaintif melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa Mohd. Nazifuddin, 36, yang dinamakan sebagai defendan telah dikenakan cukai taksiran tambahan bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Cukai taksiran tambahan yang dikenakan ialah RM1,541,850.83 bagi tahun 2011; RM5,718,486.42 (2012); RM5,437,086.08 (2013); RM3,775,133.23 (2014); RM1,796,494.18 (2015); RM2,271,812.79 (2016) dan RM12,052,046.26 bagi tahun 2017.

Jumlah keseluruhan cukai tambahan tersebut ialah sebanyak RM37,644,810.73.

Bagaimanapun, defendan didakwa masih gagal membayar cukai tambahan tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian menyebabkan faedah sebanyak 10 peratus telah dikenakan ke atas cukai tambahan tersebut berjumlah RM3,259,290.84.

Defendan didakwa masih gagal menjelaskan jumlah cukai tambahan dan faedah 10 peratus yang dikenakan atas cukai tambahan tersebut dalam masa 60 hari sebagaimana yang ditetapkan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Oleh itu, Kerajaan Malaysia menuntut bayaran berjumlah RM37,644,810.73, faedah 10 peratus yang dikenakan atas cukai tambahan tersebut.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh atas jumlah RM37,644,810.73, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. - UTUSAN ONLINE