Adik tiri bekas Ahli Parlimen Rompin itu, Mohamed Najeb Ali, 55, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, anak-anak saudara tirinya, Nur Anis dan Ikwan Hafiz hanya terlibat dengan tiga buah syarikat milik Jamaludin selepas kematian bapa mereka pada 2015.

Tiga syarikat yang dimaksudkan ialah Rantai Wawasan Sdn. Bhd. (Rantai Warisan), Alpine Motion Sdn. Bhd. (Alpine Motion) dan Ivory Insights Sdn. Bhd. (Ivory Insights).

“Mereka mengambil alih syarikat selepas kematian arwah. Sebelum meninggal, Nur Anis (defendan pertama) tidak berada di Malaysia sebab bekerja di Boston, Amerika Syarikat manakala Ikwan Hafiz (defendan kedua) bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat. Dua lagi anak arwah, Nurul Alyaa dan Noor Adila juga tidak memainkan sebarang peranan penting dalam syarikat.

“Mereka memegang saham ini sebagai pemilik berdaftar dan bukan pemilik benefisiari. Walaupun ada perubahan dalam pemilikan syarikat pada 2009 namun ia tidak akan memberi kesan kepada pemilik benefisiari iaitu arwah,” katanya.

Tambahnya, pada 11 Mac 2009, defendan pertama dan kedua, masing-masing menerima 2.1 juta saham dan 900,000 saham dalam syarikat Rantai Warisan daripada syarikat Puncak Insiatif.

Mohamed Najeb berkata demikian sewaktu memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman ibu mereka, Aminah Abdullah terhadap dua cucunya itu yang didakwa gagal memasukkan syer tiga buah syarikat berjumlah RM1.3 bilion dalam senarai aset harta pusaka.

Terdahulu, lelaki itu memberitahu, Jamaludin merupakan pemilik tidak langsung bagi ketiga-tiga syarikat terbabit.

"Arwah masa hidupnya tidak boleh memegang syarikat itu atas beberapa sebab antaranya adalah kerana beliau memegang berbagai jawatan dalam kerajaan.

“Terdapat kekangan perundangan. Mengikut Kod Etika bagi Aggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen, arwah tidak boleh terbabit dengan perniagaan. Begitu juga kekangan politik, pendedahan berhubung perniagaannya akan membawa kepada kritikan awam,” katanya.

Bagaimanapun, arwah mengawal semua pergerakan syarikat dan sebarang aktiviti perlu mendapat persetujuannya.

Pada 3 Januari lalu, Aminah, 85, ibu kepada Jamaludin yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, memfailkan saman terhadap dua cucunya selepas didakwa gagal memasukkan tiga syer syarikat bernilai RM1.3 bilion sebagai aset harta pusaka.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka Allahyarham gagal memasukkan sebahagian saham dari Rantai Wawasan, Alpine Motion dan Ivory Insights Wawasan ke dalam senarai aset dan liabiliti milik Allahyarham.

Plaintif mendakwa sebagai ibu kandung yang sah dan waris kepada Jamaludin, beliau mempunyai kepentingan di dalam harta pusaka.

Menurutnya, kegagalan defendan memasukkan saham itu ke dalam Senarai Aset dan Tanggungan sejak 6 Julai 2017 (tarikh Surat Kuasa Mentadbir diberikan) sehingga hari ini adalah salah dan tidak wajar.

Selain itu, Aminah mendakwa, kegagalan defendan berbuat demikian adalah bertujuan menafikan hak dan kepentingan plaintif sebagai benefisiari harta pusaka si mati.

Plaintif juga mendakwa terdapat beberapa maklumat tidak didedahkan kepadanya iaitu sebuah apartmen yang dimiliki si mati di Boston, Amerika Syarikat bernilai RM10 juta.

Selain itu, beliau mendakwa ada diminta menandatangani dua dokumen iaitu surat penolakan berkaitan permohonan defendan untuk geran surat kuasa dan ikatan perkiraan keluarga walaupun mengetahui dirinya adalah buta huruf.

Sehubungan itu, Aminah menuntut kedua-dua defendan memindah milik saham tiga syarikat itu kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Beliau juga menuntut pentadbir bersama harta pusaka meminda senarai aset di dalam geran surat kuasa dengan memasukkan saham yang dituntut serta mengakaunkan dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dalam tiga syarikat kepada beliau.

Turut dituntut, kedua-dua defendan menandatangani semua dokumen yang perlu selain kos serta relif-relif lain yang sesuai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Firuz Jaffrill bersambung 10 September ini. - UTUSAN ONLINE