Muhammad Rafi Md. Rawi, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh sebagai Pegawai Zakat iaitu Amil Zakat telah melakukan pecah amanah wang sebanyak RM1,750 dan RM3,000 dengan menjadikan kedua-dua wang itu untuk kegunaannya sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Kaunter Kutipan Zakat Lembaga Zakat Selangor Cawangan Taman Melawati dekat sini pada pukul 10.41 pagi pada 24 Julai 2018 dan 12.17 tengah hari pada 12 April 2019.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda. - UTUSAN ONLINE