Pensyarah Hubungan Etnik Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), Ibrahim Ahmad berkata, tindakan itu sewajarnya diambil bagi menyelesaikan sebarang permasalahan secara baik tanpa merugikan mana-mana pihak.

“Umumnya, memang tidak ada istilah tanah adat dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Begitu juga dalam Perlembagaan Persekutuan juga tidak dinyatakan secara khusus mengenai tanah adat untuk Orang Asli.

“Namun, sebagai penduduk asal, hak mereka berkaitan tanah boleh dirujuk dalam Perkara 8(5)(c) dan Akta 134. Malahan, beberapa kes pertikaian tanah adat pernah dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai ketiadaan istilah tanah adat yang diperuntukkan kepada mana-mana kaum di negeri ini seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Menurut Ahmad Faizal, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa negeri ini diduduki secara bersama, justeru tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berjuang untuk tanah adat Orang Asli akan memberi kesan kepada kaum lain di negeri ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meminta kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli bagi memastikan hak masyarakat peribumi itu bebas mencari rezeki di hutan.

Permasalahan melibatkan Orang Asli di negeri ini timbul di Hulu Perak apabila wujud sekatan manusia bagi menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ibrahim percaya, kepemimpinan kerajaan sedia ada tidak akan lupa untuk membela nasib Orang Asli seperti yang terkandung dalam Janji 38 Buku Harapan oleh Pakatan Harapan.

“Berkaitan janji membela nasib Orang Asli berkaitan tanah adat khususnya melibatkan cadangan-cadangan Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Tanah Adat oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), adalah lebih baik pihak kerajaan berusaha untuk menunaikannya.

“Walaupun sudah terlepas untuk dibahaskan dalam Parlimen pada tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, ia wajar dipertimbangkan pada sesi Parlimen akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE