Tertuduh, Datuk Hasan Abd. Rahman, 57, dan Khuzaimah Abdullah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu sejurus dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut kesemua pertuduhan terhadap Hasan, tertuduh telah diamanahkan ke atas peruntukan NBOS 2016 untuk Melaka bagi Projek Tanaman Jagung, Tanaman Pisang dan Sayuran - Gantian Cili dan Ternakan Rusa didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menandatangani 34 keping cek dengan jumlah keseluruhan RM318,400.

Kesemua pembayaran itu bagaimanapun tidak diterima oleh penerima projek tersebut daripada Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Japerun Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Sementara itu, Khuzaimah didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Hasan untuk melakukan jenayah pecah amanah dana NBOS bagi projek-projek tersebut pada tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan Khuzaimah dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda. - UTUSAN ONLINE