Jeffrey Koh Hong Lam, 51; dan empat ahli keluarganya iaitu Ee Bee Teng, 49; Koh Qian Yi, 19; Koh Qian Yun, 25; Koh Kiat Kuan, 23, dan rakan mereka, Goh Eng Meng, 46, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis ketamin dengan berat kasar 9,755 gram di dalam bonet belakang kereta berhadapan sebuah rumah di Jalan CS 12, Taman Cheng Setia kira-kira pukul 6.10 petang di sini pada 26 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung mandatori mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, Hong Lam dan rakannya, Eng Meng turut didakwa dengan niat bersama atas dua pertuduhan lain mengedar dadah jenis ketamin dengan berat kasar 600 gram dan methamphetamin 590 gram di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Najwa Nazari dan Intan Lyiana Zainal Abidin manakala semua tertuduh diwakili Peguam Andrew Lourdes.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE