Tertuduh, Koh Sing Yee, 30, dan bapanya, Koh Pueh Lye, 54, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan dan Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, Sing Yee, seorang penjual madu dan bapanya penjual produk herba didakwa telah menerima deposit daripada lima individu berjumlah RM520,500 tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Manakala bagi pertuduhan keenam sehingga ke sembilan, dua beranak itu didakwa dengan curang telah menipu, mendorong dan memperdayakan empat daripada lima mangsa yang sama dengan menawarkan pelaburan tidak wujud hingga menyebabkan mangsa menyerahkan sejumlah wang tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara Oktober 2016 hingga Ogos 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos dan Mazuin Hashim manakala kedua-dua beranak itu diwakili Peguam Ishak Kari.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM170,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 20 September depan sebagai sebutan semula kes. Kedua-dua mereka juga perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali sehingga kes itu selesai. - UTUSAN ONLINE