Lapor Press TV memetik ke­nyataan Gebran dalam Twitter rasminya sebagai berkata, Israel sedang merobohkan rumah-rumah di Tebing Barat, meng­akibatkan penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal dari Baitulmuqaddis dan kawasan pinggir bandarnya serta menolak hak kepulangan semula dalam ‘perjanjian abad ini’ sebagai usaha untuk menghapuskan Palestin.

"Terdapat mereka yang mewujudkan masalah untuk menimbulkan kekacauan terhadap saudara Palestin kita daripada bahaya lebih dahsyat yang belum lagi tiba.

"Komuniti antarabangsa menutup sebelah mata tentang kebenaran dan sesetengah yang menyokong kebenaran itu, turut mengabaikan isu berke­naan," katanya.

Pada Rabu lalu, Amerika Syarikat (AS) menyekat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) daripada meluluskan resolusi mengecam tindakan perobohan Israel membabitkan 70 rumah di 10 bangunan pangsapuri di kawasan penempatan Sur Bahir.

Indonesia, Kuwait dan Afrika Selatan meluahkan kebimba­ngan berkaitan tindakan rejim Zionis itu.

Ketiga-tiga negara itu me­negaskan tindakan tersebut akan menjejaskan rundingan dua negara dan prospek untuk resolusi yang adil serta berpanjangan bagi konflik Palestin-Israel.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat mengecam tindakan rejim Zionis selain menggesa komuniti antarabangsa mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan.

Beliau juga mendesak Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet menggunakan mandatnya di bawah resolusi 31/36 Majlis Hak Asasi Manusia, yang menuntut pangkalan data bagi semua firma perniagaan yang terlibat dalam aktiviti penempatan haram Israel di wilayah Palestin serta menuntut perlindungan antarabangsa bagi rakyat Palestin.

"Komuniti antarabangsa bukan sahaja gagal menghalang aktiviti perobohan dan tindakan rejim Zionis menghalau rakyat Palestin di Sur Bahir namun turut gagal memaksa Israel bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan," tegasnya.