Rang undang-undang itu membenarkan rejim Zionis me­ngusir mana-mana ahli keluarga yang terlibat dalam serangan atau cubaan menyerang Israel, dari Tebing Barat ke satu lokasi lain dalam tempoh tujuh hari.

Dalam kenyataan yang dike­luarkan Knesset, usul tersebut diluluskan selepas mendapat sokongan undi 69-38.

PressTV melaporkan, sesi perbahasan di Knesset itu dikatakan ‘panas’ apabila salah seorang ahli Parlimen Arab diusir keluar kerana mengganggu persidangan.

Rang undang-undang itu kini sedang dibahaskan untuk sesi pengundian di peringkat Jawatankuasa Pertahanan Parlimen dan Antarabangsa untuk bacaan akhir.

Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennett berkata, sokongan undi dalam skala besar itu menggambarkan langkah kerajaan yang penting dalam terus memastikan ke­amanan Israel.

Kementerian Hal Ehwal Perundangan dan Keha­kiman sebelum ini menyatakan ke­khuatiran yang usul itu bakal mewujudkan perlanggaran un­dang-undang antarabangsa dan Israel.

Dalam pada itu, satu lagi undang-undang kontroversi berhubung status ‘menghalal­kan’ penempatan ha­ram Yahudi juga dibentangkan untuk bacaan awal.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi jaminan akan berusaha untuk ‘menghalalkan’ ribuan pe­nempatan ha­ram Yahudi di Tebing Barat.