Memetik laporan Al-Jazeera, berdasarkan video dirakam secara langsung itu, lelaki yang dikenali sebagai Daoud Nabi, 71, mengucapkan ayat tersebut kepada pengganas, Brenton Tarrant, yang memasuki pintu utama masjid berkenaan.

Daoud berasal dari Afghanis­tan merupakan mangsa pertama yang dibunuh semasa cuba menyelamatkan jemaah lain daripada penyerang bersenjata tersebut.

Anaknya, Omar Nabi menyifatkan Daoud sebagai seorang yang banyak berjasa, membantu ramai pelarian semasa hidupnya.

“Beliau ba­nyak berjasa kepada pela­rian, bertemu mereka ketika tiba di lapangan terbang dan membantu mereka memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Ketika New Zealand digemparkan dengan insiden serangan itu, beberapa pengguna media sosial memuji lelaki yang menyapa penye­rang sebelum dia dibunuh.

“Kata-katanya tenang dan penuh unsur kasih sa­yang. Jangan katakan kepada saya bahawa kebaikan dan kepercayaan terhadap keamanan adalah satu tindakan pengecut,” luah seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna Twitter menulis tentang pe­rasaannya berkenaan insiden tersebut.

“Hello, saudara ayat yang diucapkan oleh seorang yang baik hati, penuh dengan ketenangan,” tulisnya. – AGENSI