CNN Indonesia melaporkan, hasil tinjauan mendapati, walaupun niat Gabenor itu baik, namun cadangan tersebut dilihat tidak mesra kepada semua warga Jakarta.

Pegawai swasta, Dewantoro Dwiputro berkata, jika ranca­ngan itu direalisasikan, ia memaksa masyarakat untuk me­nukar kenderaan secara berkala.

“Bukan semua orang mampu membeli kenderaan baharu, masih banyak yang membeli kenderaan terpakai.

“Kuasa beli masyarakat kebanyakan membeli kenderaan terpakai berbanding yang baharu,” katanya, semalam.

Pada 1 Ogos lalu, Anies menerusi Arahan Gabenor No.66 2019 tentang Pengendalian Kualiti Udara meminta agar had umur kenderaan awam dan peribadi berkenaan dilaksanakan.

Bagi penduduk Kalibata, Jakarta Selatan, Raja Haposan yang senada memberitahu, kebanyakan masyarakat tidak mampu dan tidak wajar bagi mereka yang menjaga kende­raan dengan baik walaupun sudah berusia.

Sementara itu, penduduk Jakarta Timur, Frans berkata, dia bersetuju rancangan itu dilaksanakan yang boleh me­ngurangkan pencemaran udara secara signifikan.

“Ya, asalkan kerajaan terus memperbaiki dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam agar selesa dan efisien,” jelas­nya. – AGENSI