Akibatnya, sekitar 21 juta rakyat Syria menjadi mangsa dan hampir tiga juta rakyatnya menjadi pelarian, enam juta lagi berpindah-randah dalam negara manakala ratusan ribu terbunuh dan cedera setakat ini.

Bagi mendapatkan gambaran dan keadaan terkini di Syria, wartawan Utusan Malaysia, MD AZRIN ROSLY menemu bual Charge d’Affaires Syria ke Malaysia, TAMIM MADANI di pejabatnya baru-baru ini.

UTUSAN: Siapakah yang paling mendapat manfaat daripada krisis di Syria?

TAMIM: Penerima manfaat utama sudah pasti Israel. Secara dasarnya, krisis di Syria bermula apabila negara-negara luar mula campur tangan de­ngan hal ehwal dalaman negara kami. Percubaan untuk mewujudkan pergolakan dalaman untuk manfaat sebuah negara iaitu Israel. Ini satunya entiti yang mendapat manfaat kepada masalah Syria.

UTUSAN: Mengapa pula Israel menyasarkan Syria?

Hal ini kerana Syria adalah satu daripada negara yang sentiasa menentang Israel dan masih dalam perang (state of war) dengan rejim Zionis itu. Oleh kerana Israel tewas dita­ngan Damsyik dan sekutu kami banyak kali, mereka merasakan cara untuk mengukuhkan rejim mereka di rantau Asia Barat adalah dengan memusnahkan Syria.

UTUSAN: Bagaimana sebenarnya pergolakan di Syria bermula pada 2011?

Mereka (Israel) menggunakan sebahagian masalah dihadapi Syria untuk mewujudkan pergolakan dan mendorong orang awam bagi melakukan ‘demonstrasi’ terhadap kerajaan namun ia bertukar ganas. Rakyat mula menggunakan senjata api dan menembak polis. Justeru kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kestabilan negara kerana ia dengan pantas merebak kepada pembentukan kumpulan berkait dengan ekstremis seperti al-Qaeda yang mula menyerang kem tentera, pos polis dan bangunan kerajaan. Situasi menjadi tidak terkawal maka kerajaan perlu menangani kekacauan ini.

UTUSAN: Mengapakah pergolakan ini masih berlarutan sehingga kini?

Malangnya, banyak negara telah melabur besar untuk cuba menggugat kestabilan Syria dengan membiayai kewangan, lebih 100,000 pejuang luar negara datang ke Syria dari pelbagai tempat, memusnahkan ba­nyak infrastruktur, membunuh banyak orang tak bersalah dan mahu menggulingkan kerajaan. Sudah tentu, kita tidak akan membenarkan kumpulan pengganas seperti al-Qaeda dan Daesh mengambil alih Sy­ria dan menjadi tanggungjawab kita untuk menentangnya de­ngan sebaik mungkin dan ini sedang kita lakukan.

UTUSAN: Apakah manfaat diperoleh apabila Syria bergolak dan lemah?

Syria menjadi negara yang bangkit menentang Israel dan masih dalam status perang de­ngan Israel di samping Lebanon. Oleh itu, penting bagi Israel untuk menewaskan Syria dan sekutunya. Rakyat Syria juga percaya dengan perjuangan Palestin, kita tidak akan putus asa kerana ia juga misi kita di samping Israel menduduki sebahagian wilayah Syria di Bukit Golan. Ia tanggungjawab kita untuk merampasnya kembali. Israel kekal musuh kita dan saya rasa ia akan kekal sebagai musuh kerana mereka telah membuktikan tidak mahu keamanan sebaliknya hegemoni dan menghapuskan populasi Palestin dan mengambil alih seluruh kawasan itu. Ia merupakan destinasi Syria untuk terus menentang kanser dalam rantau kita.

UTUSAN: Apakah yang boleh dilakukan negara-negara lain untuk membantu krisis di Syria?

Kami menyeru negara-negara mesra seperti Malaysia untuk memahami situasi yang dihadapi di Syria. Negara se­perti Malaysia boleh memainkan peranan besar untuk menyebarkan mesej dan memahami kedudukan Syria. Kita cuba membawa kestabilan dan keamanan kepada negara serta rantau Asia Barat. Kami tidak mencari peperangan dengan negara lain, Syria kekal untuk mendapatkan semula wilayah kami yang diduduki Israel atau negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Turki secara tidak sah. Mereka perlu meninggalkan Syria, hak kami untuk kedaulatan semua kawasan kami. Kami juga mengharapkan bantuan negara lain dalam memerangi keganasan antarabangsa mengikut piagam dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini bukan hanya tanggungjawab kami malah juga negara lain. Tetapi, selagi negara seperti AS dan Israel berterusan cuba campur tangan dan membawa agenda mereka, tidak akan ada keamanan.