Menurut portal 1 News Now, surah Al-Baqarah ayat 153 hingga 156 serta doa dibacakan oleh Imam Nizam Thanvi dan diikuti dengan terjemahannya oleh Imam Tahir Nawaz.

Ayat-ayat tersebut antara lain menganjurkan umat Islam supaya bersabar ketika menerima ujian daripada Allah SWT.

Antara kandungan doa yang dibacakan memohon Tuhan supaya melindungi New Zealand dan dunia daripada serangan serta bencana seperti yang telah berlaku di Christchurch.

“Tuhan, kami memohon supaya mereka yang kehilangan nyawa diterima sebagai syahid dan tempatkan mereka pada kedudukan tertinggi di syurga-Mu.

“Tuhan, kami memohon supaya kau berikan kesembuhan kepada mereka yang tercedera. Kurniakanlah kesabaran dan harapan kepada semua ahli keluarga yang terlibat dengan tragedi ini,” kata Tahir dalam nada suara sebak dan bergetar.

Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan serangan pengganas di beberapa tempat di Christchurch, New Zealand yang sehingga hari ini telah mengorbankan 50 orang mangsa. - UTUSAN ONLINE