Lapor al-Jazeera, undian terhadap Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL) itu bakal meme­cahkan kebuntuan proses damai antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak berdekad lamanya.

Jika undian ‘ya’ menang, Bangsamoro akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) yang dikritik gagal menamatkan konflik kega­nasan sehingga menyebabkan 120,000 orang maut dalam tempoh lima dekad terakhir.

Di atas kertas, kerajaan Bangsamoro yang baharu adalah lebih berkuasa dan mempunyai unit politik yang lebih besar berbanding ARMM.

Mereka bakal mempunyai Parlimen tersendiri, beberapa kuasa eksklusif yang pernah dipegang oleh kerajaan Pusat dan sebahagian besar pendapatan tempatan.

Paling penting, ini merupakan detik berakhirnya perjua­ngan MILF dan mendapat soko­ngan Pre­siden Rodrigo Duterte.

Jurucakap Duterte mengesahkan undang-undang ber­kenaan sebagai ‘undang-undang bersejarah dalam usaha mencapai keamanan yang berterusan di Mindanao kerana ini akan membetulkan ketidakadilan yang terjadi terhadap penduduk Moro’.

PERJUANGAN MORO

Enam juta penduduk Moro tinggal di negara ini dan disifatkan sebagai minoriti dalam kalangan populasi Filipina yang mencecah lebih 100 juta orang.

Mereka terdiri daripada kira-kira berpuluh kumpulan etnik yang berasal dari barat daya wilayah Mindanao.

Sejarah prejudis dan kurang peduli oleh kerajaan menjadikan tanah air Moro sebagai wilayah termiskin. Menurut data kerajaan, lebih separuh daripada populasi mereka hidup di bawah garisan kemiskinan.

Pemberontakan Moro bermula pada 1969 dengan tertubuhnya Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Dipimpin Nur Misuari, kumpulan itu me­nuntut kerajaan mendapatkan kemerdekaan untuk wilayah mereka.

Tuntutan mencetuskan pertempuran sehingga menyebabkan ramai terkorban.

Ketika MNLF dan kerajaan bersetuju membentuk autonomi pada 1976, sebuah puak kumpulan terbabit mengundur diri dan membentuk MILF.

MILF ditubuhkan pada 1977 dan terus berjuang menuntut kemerdekaan.

EKSPERIMEN YANG GAGAL

Pada 1989, kerajaan pimpinan Presiden Corazon Aquino menubuhkan ARMM.

Walau bagaimanapun, ha­nya sebahagian kecil daripada wilayah Moro iaitu empat daripada lebih 12 wilayah, mengundi untuk diletakkan di dalam wilayah autonomi.

Ketidakpuasan hati terhadap bidang kuasa ARMM yang terhad menjadi punca beberapa kumpulan bersenjata lain meneruskan pemberontakan.

Ketika MNLF memberi tumpuan mentadbir ARMM, MILF terus berkembang sebagai kumpulan pemberontak terbesar. Nur Misuari menjadi Gabenor daerah pada 1996.

Pertempuran antara MILF dan kerajaan berlanjutan sepanjang 1990-an dan awal 2000 selepas Presiden Joseph Estrada mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap kumpulan berkenaan.

Rundingan antara MILF dan kerajaan pada 2012 membabitkan persetujuan asas bagi mewujudkan wilayah autonomi yang lebih baik.

Kedua-dua pihak sekali lagi mengadakan rundingan dengan butiran yang lebih jelas pada 2014.

MILF berharap rundingan itu akan memihak kepada mereka dan Moro mampu menggantikan ARMM, yang kemudiannya disifatkan oleh Presiden Benigno Aquino sebagai ‘eksperimen yang gagal’.

BILA KEPUTUSAN UNDIAN?

Operasi polis untuk menahan seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI) di sebuah kawasan dikuasai oleh MILF di wilayah Maguindanao menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap kumpulan tersebut menurun.

Selain itu, undang-undang untuk membentuk Bangsamoro telah melalui beberapa proses perundangan di bawah Duterte.

Proses tersebut diteruskan pada 2017, selepas lima bulan insiden pengepungan di bandar Marawi oleh militan.

Selepas rundingan yang memakan masa lama antara anggota perundangan dan panel peralihan Bangsamoro yang diketuai oleh MILF, Duterte akhirnya menandatangani BOL pada Julai tahun lalu.

Di bawah BOL, Bangsamoro akan mempunyai Parlimen, sistem kehakiman undang-undang Islam, 75 peratus hasil tempatan dan geran tahunan daripada kerajaan Pusat iaitu bersamaan dengan lima peratus nilai ke­seluruhan keuntungan negara.

Dalam undian hari ini, orang ramai dari beberapa kawasan yang dikecualikan daripada ARMM akan mempunyai pilihan untuk mengundi bagi dimasukkan ke dalam Bangsamoro.

Kira-kira 20,000 anggota kese­lamatan mengawal kawasan pengundian, walaupun rantau ini masih berada di bawah undang-undang tentera, bagi mengatasi sebarang ancaman kumpulan bersenjata lain.

Namun MILF dan kerajaan yakin mereka sudah membuat perjanjian yang lebih baik berbanding kepimpinan terdahulu dan mendapat sokongan ramai.

Keputusan pengundian re­ferendum itu dijangka diketahui Jumaat ini.