Laporan oleh Agensi Beri­ta Pusat Korea (KCNA) hari ini dilihat berbeza daripada penilaian dilakukan oleh tentera Korea Selatan yang merumuskan Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat semalam.

Lapor Channel News Asia, pelancaran misil dari pekan Wonsan di pantai timur negara itu merupakan ujian kedua diadakan Pyongyang dalam tempoh kurang seminggu serta dilihat sebagai langkah untuk memberi tekanan kepada Washington serta Seoul.

Pyongyang turut melahirkan rasa marah terhadap rancangan latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan.

Lapor KCNA memetik Jong Un sebagai berkata, beliau berpuas hati dengan ujian sistem roket baharu itu yang menurutnya bakal memainkan peranan penting dalam operasi pertempuran darat tenteranya serta mencetuskan 'tekanan yang tidak boleh dielakkan kepada sasaran senjata tersebut'.

Namun KCNA tidak menyebut secara jelas sama ada ia merujuk kepada AS atau Korea Selatan tetapi pakar mendakwa sistem roket itu, bersama-sama peluru berpandu jarak dekat yang diuji itu, berpotensi memberi ancaman serius kepada pertahanan Seoul.

Selain itu, KCNA tidak memberi gambaran spesifik tentang bagaimana sistem roket berfungsi ketika dilancarkan namun ujian terbabit mengesahkan ciri-ciri teknikal sistem itu dan 'keberkesanan pertempuran'.

Menurut Ketua Turut Bersama Korea Selatan, Kim Joo-rak, peluru berpandu yang dilancarkan oleh Korea Utara terbang kira-kira 250 kilometer dan mencapai titik ketinggian tertinggi 30 kilometer.

Ujar Joon-rak, pihaknya dan tentera AS ketika ini berkongsi penilaian ciri-ciri penerbangan roket semalam adalah sama dengan peluru berpandu jarak dekat yang diuji oleh Korea Uta­ra minggu lalu.

Tambah beliau, analisis selanjutnya diperlukan untuk mengesan jenis senjata terbabit.

Menurut tentera Korea Selatan, data penerbangan misil yang dilancarkan minggu lalu menunjukkan persamaannya dengan Iskander milik Rusia.

Iskander merupakan peluru berpandu jarak dekat yang mudah dikendalikan dan bergerak pada kedudukan rendah.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Seoul, Choi Hyun-soo enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada Korea Utara berkemungkinan melancarkan peluru berpandu balistik ketika menguji sistem roket baharunya.

Dalam pada itu, penganalisis dari Institut Kajian Timur Jauh, Kim Dong-yub berkata, Korea Utara mungkin menguji sistem pelancar roket berganda 300 milimeter milik negara itu yang dipertingkatkan atau sistem baharu sepenuhnya, seperti sistem 400 milimeter.

Sementara itu, AS menafikan wujud ancaman berhubung ujian sistem roket berkenaan terhadap AS dan sekutunya. – AGENSI