Channel News Asia melaporkan, pihak berkuasa Xinjiang kelmarin memaklumkan kepada media tempatan bahawa kebanyakan etnik Uighur yang ditahan sudah dibebaskan dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing biarpun tidak mendedahkan jumlah tahanan yang dibebaskan.

Seorang penduduk Uighur yang menetap di Kanada, Guly Mahsut berkata, maklumat itu tidak benar kerana rakan dan saudaranya masih ditahan dalam kem tahanan tersebut.

Mahsut serta sejumlah penduduk Uighur yang menetap di luar negara melancarkan tanda pagar #Provethe90% menerusi media sosial dengan menggunakan gambar serta cerita rakan-rakan mereka yang dipercayai ditahan oleh China.

Kempen itu dilancarkan bagi mendesak Beijing mengemukakan bukti kukuh mengenai maklumat yang disampaikan oleh Pengerusi Xinjiang, Shohrat Zakir bahawa lebih 90 peratus tahanan sudah dibebaskan.

Seorang pelajar etnik Uighur di Amerika Syarikat (AS), Arfat Erkin memberitahu bahawa, China tidak perlu mengumumkan mereka sudah membebaskan kesemua tahanan, sebaliknya membenarkan media dari seluruh dunia memasuki kesemua kem tahanan yang diwujudkan.

Selain itu, Arfat juga mendesak supaya Beijing membenarkan semua tahanan yang sudah dibebaskan menghubungi keluarga mereka untuk mengetahui keadaan sebenar. – AGENSI