Lapor Channel News Asia, pencemaran kronik itu memaksa ramai nelayan menghentikan aktiviti penangkapan ikan buat sementara waktu di perairan yang dianggarkan seluas 45 kilo­meter persegi itu.

Selain nelayan, pencemaran turut menjejaskan perniagaan di sepanjang pantai di kampung Sedari selepas pelancong enggan pergi ke tepi pantai.

“Ikan-ikan berkemungkinan telah mati atau berenang ke kawasan lain. saya dan tiga lagi rakan saya hilang punca pendapatan.

“Simpanan saya semakin berkurang. Saya tidak tahu selama mana kami sekeluarga mampu bertahan tanpa sebarang sumber pendapatan,” keluh salah seorang nelayan, Rohadi.

Pertamina memberitahu kebocoran gas menjadi punca berlakunya tumpahan minyak pada 12 Julai lalu dan syarikat menggerakkan lebih 20 aset perairan yang dilengkapi perangkap minyak sepanjang 2 kilometer (km).

Selain itu, pihaknya juga mengaktifkan lima buah mesin penyedut untuk mengumpul minyak yang tumpah di perairan terbabit.

Meskipun keadaan semakin terkawal, minyak mentah dikesan masih mencemari kawasan pesisir pantai dan kepulauan terdekat.

Sementara itu, Timbalan Presiden Komunikasi Korporat Pertamina, Fajriyah Usman memberitahu, proses pembersihan perairan mengambil tempoh selama lapan minggu.

“Kami bekerjasama dengan jabatan cari gali syarikat ini dalam menangani isu tersebut. Pihak kami akan berterusan menggunakan penyedut dan perangkap minyak untuk mengelakkan tumpahan terus mencemari kawasan pantai,” ujarnya.– AGENSI