Trump menerusi ucapannya menyerang kerajaan Iran yang didakwa terlibat dalam kegiatan rasuah, memuji Korea Utara dan menegaskan bahawa beliau menolak globalisme serta berikrar untuk melindungi kepentingan rakyat AS.

Namun, sepanjang 35 minit Trump berucap, inti patinya le­bih merujuk kepada Iran yang disifatkan sebagai bercita-cita memiliki senjata nuklear dan mencetuskan ketidakstabilan di Asia Barat menerusi sokongannya kepada kumpulan militan di Syria, Lebanon serta Yemen.

“Barisan kepemimpinan Iran menyebabkan huru-hara, kematian serta kemusnahan. Me­reka tidak menghormati kedaulatan dan hak negara-negara jirannya,” kata Trump.

Hassan dalam ucapannya selepas itu pula membidas Trump berhubung keputusan Washington keluar daripada perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015 dengan Iran.

“Menolak multilateralisme bukanlah tanda kuat, sebalik­nya dilihat sebagai gejala kurang cerdik atau lemah akal kerana ketidakupayaan dalam memahami dunia yang kompleks dan saling berkait,” ujarnya.

Ucapan Trump secara amnya disambut sepi para pe­mimpin dunia yang tidak selesa dengan pandangannya yang menjejaskan hubungan dengan sekutu-sekutu tradisinya.

Selain itu, Trump juga menegaskan beliau tidak akan menggadaikan kedaulatan AS kepada sebuah birokrasi global yang me­rujuk kepada PBB dan menyatakan hanya rakyat AS boleh menentukan hala tujunya.

Trump turut mengkritik Chi­na mengenai kegiatan perdagangannya, namun tidak menyebut tentang penglibatan Rusia dalam konflik perang di Syria atau kempen pilihan raya Presiden AS sebelum ini.

Hassan pada akhir ucapannya menegaskan bahawa Iran menolak peperangan, sekatan, ancaman, dan mengikut semua undang-undang yang sudah ditetapkan.

Sementara itu, Presiden Pe­ra­n­cis, Emmanuel Macron me­ng­gesa semua pemimpin dunia supaya menolak ‘undang-undang paling berkuasa’ yang dilihat me­rujuk kepada Trump.

Macron tidak menyebut Trump secara terang-terangan namun secara jelas beliau tidak bersetuju dengan polisi pentadbiran Trump yang dilihat ingin mengawal semua perkara.

“Ada sesetengah pihak memilih undang-udang paling berkuasa, namun ia tidak dapat melindungi sesiapa pun,” jelasnya. – AGENSI