Trump sebelum ini mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan ketika lawatan Netanyahu ke Washington pada Mac lalu.

Lapor al-Jazeera, Netanyahu menggelarkan Trump sebagai ‘rakan baik’ Israel dan menyifatkan Bukit Golan sebagai aset strategik penting kepada rejim Zionis.

“Bukit Golan akan dan bakal terus menjadi sebahagian daripada Israel dan ‘ta­nah air’ kami yang tidak boleh dipisahkan,” kata Netanyahu.

Penempatan haram baharu itu bakal dikenali sebagai ‘Ramat Trump’ (dalam bahasa Hebrew) atau ‘Trump Heights’.

Israel menawan Bukit Golan dari Syria ketika perang Asia Barat pada 1967 dan me­rampas wilayah terbabit pada 1981.

Komuniti antarabangsa menyifatkan tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan mencabuli kedaulatan Syria.

NETANYAHU TIADA KUASA!

Dalam pada itu, wartawan al-Jazeera di Baitulmuqaddis, Harry Fawcett melaporkan, parti pembangkang menegaskan kerajaan peralihan Netanyahu tidak mempunyai kuasa untuk merasmikan penempatan haram baharu tersebut.

“Namun perkara itu tidak menghalang Netanyahu. Beliau membawa seluruh anggota Kabinet ke sana untuk apa digelar oleh Netanyahu sebagai ‘mesyuarat perayaan Kabinet’ dan dihadiri oleh Duta AS, David Friedman,” jelas Fawcett.

Walau bagaimanapun, pembangunan penempatan haram tersebut masih perlu melepasi beberapa sekatan birokrasi.

Ditambah pula dengan Ne­tanyahu bakal bertanding semula dalam pilihan raya umum kedua tahun ini, perkara itu masih belum jelas sama ada beliau mampu menyelesaikan pembangunan penempatan terbabit.

Penggubal undang-undang daripada parti pembangkang, Zvi Hauser menyifatkan majlis perasmian semalam adalah ‘langkah perhubungan awam yang kotor’.

“Tiada pembiayaan, tiada perancangan, tiada lokasi dan tiada keputusan muktamad yang sebenar,” jelasnya.

SARA DIDAPATI BERSALAH

Sementara itu, ketika Netanyahu ‘sibuk’ merasmikan penempatan haram baharu berkenaan, isterinya, Sara Netanyahu didapati bersalah menyalahgunakan dana awam dan membuat rayuan kepada mahkamah Baitulmuqaddis terhadap pertuduhan peni­puan serta pecah amanah terhadapnya.

Sara didakwa terlibat dalam penipuan dan pecah amanah selepas didapati menyalahgunakan dana awam berjumlah AS$100,000 (RM417,545) untuk tujuan membayar jamuan makan pada Jun tahun lalu.

Ketika itu, Sara mendakwa tiada tukang masak di kediaman rasmi Perdana Menteri sehingga menyebabkan beliau terpaksa ‘membayar’ syarikat katering.

Netanyahu juga berdepan kemungkinan didakwa atas kesalahan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

PELAN DAMAI TANGGUH?

Wakil AS ke Asia Barat, Jason Greenblatt memberi bayangan White House akan menangguhkan untuk mendedahkan pelan damai konflik Israel-Palestin sehingga awal November ini.

“Saya fikir logik bahawa kita menunggu sehingga kerajaan baharu (Israel) terbentuk,” katanya ketika ditemu bual Jerusalem Post.

Pentadbiran Trump sebelum ini menangguhkan pembentangan rancangannya sehingga pilihan raya Israel pada 9 April, dan pilihan raya baharu dijadualkan pada 17 September ini.