Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan hari ini berkata, sejumlah 310 orang terlantar Myanmar dari khemah perlindungan sementara di wilayah Tak, Mae Hong Son dan Ratchaburi, di sempadan Thailand-Myanmar merupakan kumpulan terbaharu yang dihantar balik dari Thailand dari 1 hingga 3 Julai.

Menurut kementerian, Thailand menghantar pulang kumpulan pertama 71 orang terlantar Myanmar pada Oktober 2016, diikuti kumpulan kedua 93 orang pada Mei tahun lepas dan kumpulan ketiga 565 orang pada Februari tahun ini.

"Kerajaan Thailand telah memberi perlindungan kepada orang terlantar Myanmar sejak 1984. Pada masa ini, terdapat kira-kira 100,000 orang terlantar Myanmar yang tinggal di sembilan khemah perlindungan sementara di wilayah Mae Hong Son, Tak, Kanchanaburi dan Ratchaburi yang menunggu untuk kembali ke Myanmar apabila situasi membenarkan mereka berbuat demikian.

"Kedua-dua pihak (Thailand dan Myanmar) akan terus bekerjasama dan memudahkan kepulangan ke Myanmar secara sukarela dan memastikan keselamatan, maruah, serta kemapanan apabila pulang," jelas kenyataan itu.

Kementerian memaklumkan, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) terus membantu dalam proses kepulangan mereka.

Kumpulan Kerja Bersama Thailand-Myanmar mengenai Persediaan Kepulangan Orang Terlantar Myanmar bersetuju untuk menghantar pulang orang terlantar sekurang-kurangnya dua kali setahun, sebelum dan selepas musim hujan.

Kenyataan itu berkata, kejayaan penghantar pulang menunjukkan usaha kedua-dua kerajaan yang digerakkan oleh Kumpulan Kerja Bersama Thailand-Myanmar mengenai Persediaan kepulangan Orang Terlantar Myanmar, yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Thailand dan Kementerian Luar Myanmar.

Konflik politik dan dalaman mencetuskan kebanjiran sebilangan besar orang terlantar di Myanmar.

Pusat Pemantauan Persediaan berkata, terdapat 401,000 orang terlantar di Myanmar berikutan konflik dan bencana, sehingga Disember 2018.

Menurut Amnesty International, lebih 720,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang masuk ke Bangladesh selepas pasukan tentera Myanmar melancarkan gerakan pembersihan etnik terhadap masyarakat minoriti Islam pada Ogos 2017. - BERNAMA