Jabatan Negara AS mengeluarkan laporannya ketika negara kuasa besar dunia mengumumkan pemberian dana baharu sebanyak AS$185 juta (RM) kepada pelarian Rohingya semasa satu mesyuarat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Myanmar.

Kajian Jabatan Negara AS berdasarkan wawancara yang diadakan pada April melibatkan 1,024 responden dewasa yang berlindung di Bangladesh dan keterangan yang diperoleh itu konsisten dengan laporan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Laporan Biro Risikan dan Penyelidikan Jabatan Negara AS dilihat mengelak daripada menggunakan terma pembunuhan beramai-ramai atau penghapusan etnik bagi menggambarkan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Katanya, tinjauan itu mendedahkan bahawa keganasan terbaharu di utara Rakhine adalah melampau, pada skala besar, meluas dan seolah-olah dilakukan bagi mencetuskan keta­kutan kepada penduduk dan mengusir etnik Rohingya.

“Skop dan skala operasi ketenteraan menunjukkan ia dirancang dengan rapi dan sistematik.

“Di sesetengah kawasan, pelaku menggunakan taktik yang mengakibatkan kematian ramai seperti mengunci penduduk dalam rumah dan membakarnya, mengepung seluruh kampung sebelum menembak orang ramai atau menenggelamkan bot dinaiki etnik itu yang melarikan diri,” katanya.

Menurut laporan itu, se­banyak 82 peratus individu yang ditemu bual secara peri­badi menyaksikan pembu­nuhan dengan 51 peratus lagi melaporkan keganasan seksual.

Jabatan Negara berkata, saksi daripada kampung-kampung lain melaporkan kejadian rogol yang sama iaitu askar lelaki akan memaksa semua wanita meninggalkan rumah mereka.

“Mereka kemudiannya akan memilih sebilangan kecil wanita seramai empat atau lima orang malah ada yang mendakwa sehingga 20 orang sebelum seramai 15 tentera akan membawa mereka ke padang, hutan, sekolah, masjid untuk dirogol secara beramai-ramai.

“Kebanyakan mangsa kemudiannya dilaporkan dibunuh, walaupun bukan semua kes seperti itu,” kata laporan itu menambah, askar akan pergi dari rumah ke rumah bagi mencari gadis cantik untuk dirogol.

Dalam 88 peratus kes yang banyak berlaku, saksi-saksi berkata, tentera mendalangi keganasan dan hanya segelintir yang mengatakan mereka di­serang oleh Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA), kumpulan bertanggungjawab mencetuskan konflik terbabit pada 2016. – AFP