Taufan paling dahsyat di dunia pada tahun ini meng­akibatkan bahagian utara Pulau Luzon di Filipina ditenggalami banjir manakala angin kencang menyebabkan pokok tercabut dan hujan mengakibatkan puluhan kejadian ta­nah runtuh.

Mangkhut melanda kawa­san pantai Jiangmen, di selatan wilayah Guangdong, China petang semalam selepas membadai Hong Kong.

Pihak berkuasa cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran tahap tertinggi untuk taufan tersebut, yang melanda bandar itu dengan kelajuan angin melebihi 230 ki­lometer sejam dan mengakibatkan lebih 100 orang cedera, menurut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Ketika taufan berkenaan me­lalui selatan Hong Kong, po­kok terputus dua dan jalan raya terhalang, manakala ting­kap blok menara pecah dan bangunan pencakar langit bergegar.

Filipina mula menghitung kerugian yang disebabkan oleh taufan tersebut yang melanda utara Luzon semalam, dan ang­ka kematian naik kepada 64 orang hari ini kerana lebih ba­nyak mangsa tanah runtuh dijumpai.

Di bandar Baggao, Taufan Mangkhut memusnahkan rumah, menerbangkan bumbung dan menumbangkan tiang elektrik. Beberapa jalan raya tersekat dengan tanah runtuh dan ramai masih tertimbus.

Ladang di utara Luzon, yang menghasilkan sebahagian besar beras dan jagung untuk negara, ditenggelami banjir lumpur, tanaman musnah hanya sebulan sebelum dituai.

“Kami sudahlah miskin dan ini pula berlaku ke atas kami. Kami sudah putus harapan,” kata Mary Anne Baril, yang mengalami kemusnahan tanaman jagung dan padi.

Di Hong Kong, air naik di Pelabuhan Victoria dan kampung nelayan di pantai, di mana ratusan penduduk dipindahkan ke tempat perlindu­ngan taufan.

Beberapa jalan raya di­teng­gelami air paras pinggang de­ngan beberapa kawasan bandar raya terputus hubungan akibat banjir dan pokok tumbang.

Kerajaan mengeluarkan ama­ran kepada penduduk supaya tidak keluar dari rumah.

Ketika Taufan Mangkhut ber­gerak melalui Macau ke selatan, jalan raya ditenggelami air yang mengalir deras dari pelabuhan. – AGENSI/AFP