Seorang lelaki maut di Hong Kong manakala tiga terbunuh di Macau selain dua lagi hilang.

Seperti mana Macau, Hong Kong menyaksi banyak perniagaan ditutup, jalan raya ditenggelami air dan pokok-pokok tumbang.

Sejumlah 420 penerbangan terpaksa dibatalkan, pasaran kewangan ditangguh dan sekolah ditutup dalam bencana alam terbaharu sejak taufan Vicente me­landa bandar raya ini pada tahun 2012.

Bangunan-bangunan pencakar langit kosong dan gelap ma­nakala penduduknya terpaksa berkurung dalam rumah ma­sing-masing.

Hato melanda Victoria Harbour menyebabkan ombak besar di beberapa buah pantai terkenal selain menyebabkan berlaku banjir teruk di beberapa kawasan rendah.

Kawasan yang padat penduduk di Heng Fa Chuen, ombak besar membadai bangunan-bangunan di pinggir laut dan kawasan pejalan kaki serta menenggelamkan kenderaan yang diletak berhampiran.

Hato membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 155 kilometer sejam.

Seorang pegawai kanan balai cerap Hong Kong memberitahu, paras air laut boleh meningkat kepada lima meter di beberapa buah kawasan manakala kerajaan telah pun mengeluarkan amaran banjir dan membuka sebanyak 27 pusat perlindung­an sementara.

Angin kencang berterusan dengan kelajuan 77 kilometer sejam direkodkan di Tate’s Cairn dan pulau Waglan pada waktu pagi dan mencapai tahap maksimum 103 kilometer sejam.

Seorang penduduk, Garret Quigley dari pulau Lantau di barat bandar raya ini berkata, dia tidak pernah melihat kesan taufan seburuk kali ini.

“Kereta hampir tenggelam sepenuhnya, jalan raya tidak boleh dilalui akibat banjir dan banyak pokok tumbang,’’ kata­nya.

Taufan Hato kini bergerak ke China .– Reuters/Bernama