Portal BBC melaporkan, serangan pengganas oleh Brenton Tarrant, 28, yang berpaksi kepada ketuanan kulit putih itu mengorbankan 50 orang manakala 50 lagi cedera dalam serangan yang dilakukan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Seramai 34 mangsa masih dirawat di hospital kerana luka akibat kesan tembakan tersebut.

Pesuruhajaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, tiga lagi yang ditahan dipercayai tidak terlibat namun masih dalam siasatan.

“Polis percaya tiga individu yang ditahan berhampiran lokasi kejadian tidak terlibat, tetapi itu belum muktamad. Seorang wanita dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan manakala seorang lelaki didakwa dengan kesalahan senjata api.

“Seorang lagi lelaki berusia 18 tahun yang ditahan akan didakwa esok tetapi penglibatannya masih belum jelas. Mereka yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Tambah Bush, pihaknya bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang konklusif sehingga benar-benar yakin berapa ramai yang terlibat dalam serangan bersenjata tersebut.

Di Sydney, Australia, keluarga Tarrant hari ini melahirkan rasa terkejut dan terkesan dengan kejadian yang mengerikan itu.

“Kami semua terkejut, tidak tahu apa yang perlu difikirkan. Itu keterlaluan apabila seseorang dalam keluarga kita boleh melakukan seperti ini,” kata nenek kepada Tarrant, Marie Fitzgeralad kepada Channel Nine Australia ketika ditemui di rumahnya di New South Wales.

Tarrant dibesarkan di Grafton tidak menunjukkan tanda-tanda terpersona dengan ideologi ketuanan kulit putih semasa melancong ke Eropah sebelum akhirnya kebencian bertukar kepada keganasan.

“Dia menunjukkan perubahan selepas berada di luar negara. Dia minat permainan komputer seperti orang lain dan mula mengembara sebelum tinggal di Dune­din di New Zealand sejak bapa­nya meninggal,” katanya. – AFP/agensi