Raja Muda Perlis bertitah, pada masa sama mereka perlu menangani isu Islamophobia secara bijak.

Titah baginda, perkembangan mutakhir di Malaysia menuntut rakyat lebih moderat dalam pendekatan beragama. 

"Ini adalah kerana Islam merupakan sebuah agama yang amat mementingkan soal kesederhanaan dalam kehidupan.

"Islamophobia mesti ditangani dengan lebih berkesan melalui sikap wasatiyyah yakni 'moderation'," titah baginda dalam program bersama rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Manusia, titah baginda, yang sentiasa menjunjung prinsip kesederhanaan akan menjadi seorang warga yang ideal dalam hidupnya.

"Atas maksud itulah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil peluang melaksanakan Program ‘Liqa Mawaddah’ bersama masyarakat Malaysia di luar negara, agar ‘wasatiyyah’ ini sentiasa dihayati dan dijadikan panduan," titah baginda.

Program sedemikian juga pernah MAIPs laksanakan di London, Riyadh, Jeddah, Kuwait, Muscat, Doha dan Dubai.

MAIPs turut menyampaikan sumbangan Tabung Ibnu Sabil sebanyak RM5,000 kepada pihak pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dhaka yang dapat digunakan dalam kes-kes kecemasan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di sini.

Sumbangan itu diterima oleh Setiausaha Pertama di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Idhamzurin Mohd. Yunus.

Tabung Ibnu Sabil dari MAIPs juga pernah diberikan kepada pejabat perwakilan Malaysia di Jeddah, Dubai, Hong Kong, Guangzhou, Sydney dan Melbourne sebelum ini.

Sementara pagi ini Tuanku menghadiri program syarahan antarabangsa di Universiti Antarabangsa Daffodil di sini. Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memberi syarahan utama bertajuk: Memahami Islam dalam konteks harmoni. 

Seramai 700 orang menghadiri majlis itu dan 50,000 menyaksikan melalui televisyen web universiti berkenaan.

Dalam titah baginda mengingatkan tentang pelbagai tafsiran Islam telah mengelirukan dunia hingga ada yang menonjolkan Islam yang menjadi bahan sendaan musuh seperti yang dilakukan oleh ISIS dan seumpamanya.

Islam, titah baginda, agama untuk sepanjang zaman. Al-Quran dan Hadis itu kekal tidak berubah, tetapi keadaan manusia berubah dan ada perkara yang pemahaman al-Quran dan hadis itu perlu dilihat dalam konteks yang sebenar supaya kita tidak tersalah tafsir.

"Mengambil sesuatu maklumat daripada sumber yang sah dan tepat merupakan asas dalam menerobos pintu kebenaran.

"Terdapat segelintir masyarakat yang hanya mendapatkan sesuatu maklumat tanpa berusaha mengenali dan mendekati sesuatu isu tersebut," titah tuanku.

Begitu juga titah baginda, dalam memahami kehendak ajaran Islam, asas-asas yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah hendaklah difahami dalam konteksnya yang sebenar.

"Justeru, kita hendaklah membuka minda kita akan peri pentingnya konteks sesuatu hadith, dalam memahami kehendak sebenar sabda-sabda Baginda Rasulullah," titah baginda. -  UTUSAN ONLINE