Lapor Republika.co.id, penduduk itu bimbang akan berlakunya tsunami, berikutan gempa susulan yang masih berlaku selepas bencana tersebut yang setakat ini mengorbankan enam orang manakala sebanyak 971 buah rumah rosak.

Keadaan itu berlaku kepada penduduk yang ditempatkan di penempatan sementara di Desa Rangaranga di mukim Gane Barat yang dihuni sebanyak 800 orang.

Ketua Desa Rangaranga, Derek Mathias berkata, penduduk masih bertahan di pusat penempatan itu yang terletak di tempat tinggi selain mereka masih takut pulang ke rumah yang rosak teruk akibat gempa tersebut.

Mathias berkata, demi memenuhi keperluan makanan penduduk kampung di penem­patan itu, mereka terpaksa menggunakan dana kampung untuk membeli bahan makanan kerana bantuan dari kerajaan masih belum tiba.

Keadaan berbeza bagi 1,114 penduduk Kota Labuha apabila mereka akan pulang ke rumah pada waktu siang namun kembali ke penempatan sementara pada waktu malam.

Setiausaha Daerah Halmahera Selatan, Helmy Surya Botutihe berkata, penduduk masih takut untuk pulang ke rumah selepas kebanyakan kediaman mereka rosak teruk ataupun roboh akibat bencana itu.

Namun katanya, penduduk tidak perlu khuatir kerana Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofiisika (BMKG) memberi jaminan gempa susulan itu tidak mencetuskan tsunami. – AGENSI