BBC melaporkan, selaman kelima dan juga terakhir penjelajah dasar laut itu dilakukan dengan menggunakan sebuah prototaip kapal selam dekat jurang Molloy di Lautan Artik pada kedalaman sehingga 5.5 kilometer (km) dari bawah permukaan laut.

Selaman itu adalah yang terakhir bagi Vescovo selepas meneroka Lautan Pasifik, Hindi, Antartik dan Atlantik. Vescovo menyempurnakan misinya itu dalam tempoh 10 bulan.

Sebuah kenderaan dasar laut (DSV) seberat 12 tan digunakan dalam misi selaman itu yang dilepaskan dari kapal soko­ngan, DSSV Pressure Drop.

Misi terakhir ‘Ekspedisi Dasar Lima’ disempurnakan pada 24 Ogos lalu apabila Vescovo berjaya sampai ke kawasan digelar Molloy Hole, kira-kira 275 kilometer dari kepulauan Svalbard, Norway.

Rekod kedalaman selaman solo yang dicatatkan adalah sekitar 5,550 meter dan Vescovo adalah manusia pertama sampai ke kawasan itu.

"Perkara ini perlu dilakukan. Saya memegang falsafah yang mengatakan kita di sini bukan sekadar untuk bertahan atau berasa selesa, tetapi untuk menyumbang sesuatu.

"Laluan yang telah saya pilih adalah untuk pengembaraan yang akan memajukan kita sebagai salah satu makhluk di Bumi ini," katanya.

Sementara itu, pasukan saintis ‘Dasar Lima’ mendakwa menemukan sebanyak 40 spe­sies baharu semasa melaksanakan kesemua ekspedisi tersebut.

Ketuanya, Dr Alan Jamieson berkata, ekspedisi itu membantu penyelidik memahami lebih jelas peredaran laut lebih baik yang diperlukan untuk memperbaiki model komputer bagi menggambarkan senario iklim masa depan. –AGENSI