Mail Online melaporkan, untuk menghantar surat itu, Richard Browning terbang merintasi selat Solent menggunakan sut yang dikuasakan dengan lima enjin tersebut sehingga mampu mencapai kelajuan 89 kilometer sejam (km/j).

Malah, sut dipakai Browning itu mirip dengan sut digunakan pelakon Tony Stark dalam filem adiwira Marvel Universe dan boleh terbang pada jarak yang jauh.

Gravity Industries merupakan syarikat terlibat di sebalik pembuatan sut tersebut yang mendapat paten pada awal tahun ini dan disifatkan Browning sebagai ‘sut jet’ pertama di dunia.

Penerbangan melintasi Solent kira-kira 1.3 kilometer dari Hurst Castle di Lymington ke Fort Albert di Freshwater adalah yang paling jauh melibatkan sut tersebut.

Browning sebelum ini pernah melakukan demonstrasi menggunakan sut itu di lebih 20 negara di seluruh dunia.

Beliau dalam pada itu memberitahu, firma tersebut berharap dapat melancarkan beberapa sut berteknologi tinggi untuk digunakan dalam beberapa siri perlumbaan kompetitif.

“Sejak melancarkan Gravi­ty pada 2017, kami tidak berhenti mencabar status quo. Malah, pa­ten yang diperolehi merupakan pencapaian penting bagi syarikat yang akan membolehkan kami terus berinovasi dan memberi ins­pirasi kepada orang ramai.

Jelas Browning, tumpuan mereka pada ketika ini adalah pelancaran Siri Perlumbaan Gravi­ty pada akhir tahun ini yang me­nyaksikan juruterbang melakukan pelbagai aksi berdasarkan kemahiran penerbangan untuk bersaing dalam pertandingan di seluruh dunia. – AGENSI.