Namun, simpanan air di pulau terpadat Indonesia, Jawa dilapor semakin merosot dan terancam habis menjelang 2040.

BBC Indonesia melaporkan, berdasarkan kajian kerajaan, kira-kira 150 juta penduduk akan diancam masalah kekurangan bekalan air untuk minum dan makan sekali gus menjadi satu daripada alasan Jakarta memindahkan pusat pentadbiran ke wilayah lain.

Lembaga Pengetahuan Indonesia (LIPI) menyatakan bahawa, beberapa faktor mendorong kepada permasalahan tersebut termasuk perubahan iklim, pertambahan penduduk hingga fungsi tanah.

Kerajaan mendakwa, projek empangan dan kerja-kerja memajukan kawasan takungan air sedia ada dapat mencegah krisis air namun golongan akademik melihat usaha itu ‘tidak cukup’ untuk membendung masalah berkenaan.

BBC Indonesia turut membuat tinjauan mengenai kehidupan penduduk di Jakarta dan Pacitan, Jawa Timur yang semakin terhimpit akibat bekalan air terhad.

Seorang penduduk di Desa Klepu, Pacitan, Miratin terpaksa berulang alik dengan berjalan kaki sejauh satu kilometer setiap hari untuk mendapatkan bekalan air di sebuah gua.

Miratin dan keluarganya sering mendapatkan bekalan air dari gua tersebut untuk kegunaan harian kerana rumah mereka adalah satu daripada 85 kediaman di Klepu yang tidak mempunyai saluran paip air.

“Saya juga ada membeli air yang berharga 500 rupiah (RM0.15) bagi 20 liter air untuk kegunaan memasak serta mencuci. Tipulah kalau saya cakap tidak penat namun apa pilihan yang saya ada?,” katanya.– AGENSI