Al-Jazeera melaporkan, sebanyak enam jenazah dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Masjid Linwood setakat ini antaranya pelarian Syria, Khalid Mustafa, 44, dan anak lelakinya, Hamza yang berusia 15 tahun.

‘SAYA PATUT BARING 
DI SEBELAH ANDA’

JACINDA ARDERN
JACINDA ARDERN 

Jenazah Junaidi Ismail, 36, Ashraf Ali dan dua lagi mangsa yang namanya tidak didedahkan turut dikebumikan dalam majlis disertai ramai pelawat untuk membantu mengusung dan mengebumikan jenazah.

Anak Khalid yang cedera dalam kejadian itu, Zaid, 13, turut hadir berkerusi roda dan menunaikan solat jena­zah buat Allahyarham bapa dan abang­nya.

“Saya tidak sepatutnya berdiri di hadapan anda, saya sepatutnya baring bersebelahan anda,” kata Zaid di kubur bapa dan abangnya.

Imam Pusat Islam Australia, Mohamed Aljibaly berkata, dua beranak tersebut melarikan diri daripada perang yang berlarutan selama lapan tahun di Syria namun akhirnya, mereka terbunuh di antara negara yang paling selamat di dunia.

“Mereka adalah bapa dan anak, saudara dari Syria yang melarikan diri daripada perang dan pembunuhan yang berlaku setiap hari tapi terbunuh di New Zealand yang dianggap sebagai rumah baharu,” katanya, hari ini.

LEBIH BANYAK JENAZAH AKAN DIKEBUMIKAN

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam satu sidang akhbar hari ini membe­ritahu, pihaknya meluluskan serahan sebanyak 30 jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing.

Katanya, beliau memahami kekecewaan keluarga mangsa yang masih menunggu untuk menjalankan upacara pengebumian saudara mara.

“Banyak proses, keadaan ini sangat berbeza. Saya mahu memikirkan perkara ini, dan menambah baik,” katanya.

Ardern berkata, New Zealand akan bertafakur selama dua minit pada Jumaat ini sebagai penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, minggu lalu.

Azan juga akan berkumandang dan disiarkan di Radio NZ dan TVNZ pada hari tersebut.

TIDAK MAHU ADA KESILAPAN PUNCA LEWAT SERAH JENAZAH

Sementara itu, polis dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa telah mengenal pasti 27 mayat dan akan menyerahkannya kepada keluarga masing-masing hari ini.

Kegagalan pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses mengenal pasti mereka yang terkorban telah menambah lagi ke­sedihan orang ramai terutamanya keluarga mangsa.

Bagaimanapun pihak berkuasa menyatakan mereka perlu memastikan 100 peratus supaya tidak berlaku kesilapan dalam penyerahan mayat dan bukti tersebut boleh digunakan di mahkamah terhadap suspek.

“Tidak boleh dimaafkan sekiranya mayat dipulangkan kepada keluarga yang salah.

“Saya sekali lagi mahu memberi jaminan bahawa kami be­kerja tanpa henti. Pihak polis melakukan segalanya dalam kuasa kami untuk menyelesaikan proses pengecaman secara rasmi,” kata Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush.

SOLAT JUMAAT KEMBALI DIADAKAN DI MASJID AL NOOR

Serangan pengganas yang menembak mati 42 orang jemaah di Masjid Al Noor pada minggu lalu tidak menghalang solat Jumaat diadakan di lokasi sama, minggu ini.

Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda yang terselamat dalam serangan itu berkata, langkah tersebut menunjukkan kepada dunia bahawa umat Islam dan seluruh rakyat New Zealand tidak tunduk kepada keganasan.

“Kami akan mengadakan solat pada Jumaat ini. Majoriti termasuk saya, memutuskan untuk datang dan solat berhampiran kawasan ini,” katanya ketika ditemui NZ Herald.

Gamal yang kali ketiga berkunjung ke lokasi kejadian serangan tersebut memberitahu, umat Islam perlu bersatu sebagai satu komuniti.

“Tunjuk kita masih kuat dan tiada siapa yang boleh menghancurkan kita sebagai rakyat New Zealand mahupun Muslim, kita akan jadi lebih kuat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Imam Masjid Linwood, Alabi Lateef Zirullah turut mengesahkan bahawa jemaahnya akan menyertai solat Jumaat di Masjid Al Noor.

Operasi pembersihan besar-besaran sedang dijalankan di dalam Masjid Al Noor yang mana permaidani, dinding, tingkap dan bumbung yang rosak akibat kejadian berdarah tersebut sedang diganti.

LAGI DIDAKWA SEBAR VIDEO

Seorang lelaki berusia 44 tahun merupakan individu kedua yang didakwa di Mahkamah Daerah Christchurch hari ini kerana menyebarkan rakaman video penstriman secara langsung pembunuhan beramai-ramai di Masjid Al Noor.

Philip Arps didakwa kerana menyebarkan bahan yang tidak menyenangkan mengikut Akta Filem.

Sebelum ini, seorang remaja berusia 18 tahun didakwa kerana kesalahan sama.

PM AUSTRALIA SELAR ERDOGAN

Di Sydney, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini menyelar kenyataan Turki yang disifatkan sebagai melulu dan amat menyinggung susulan kejadian berdarah di New Zealand pada minggu lepas.

Beliau turut memberi amaran untuk mempertimbangkan semua pilihan dalam menilai semula hubungan kedua-dua negara.

Presiden Turki, Recep Tay­yip Erdogan menggunakan klip vdeo serangan pengganas yang membunuh 50 orang itu sebagai sebahagian serangan ke atas negara berkenaan dan Islam.

Beliau juga memberi amaran rakyat Australia yang anti-Islam seperti Tarrant, akan ‘dihantar balik dalam keranda’ se­perti moyang mereka di Gallipoli, lokasi pertempuran berdarah Perang Dunia Kedua.

“Kenyataan oleh Recep Tayyip yang saya anggap amat menyinggung rakyat Australia dan tidak bertanggungjawab dalam saat amat sensitif ini.

“Saya mahukan kenyataan itu ditarik balik,” katanya Morrison selepas memanggil duta Turki dan menolak ‘alasan’ yang diberi. –AFP/AGENSI