Kementerian itu dalam satu kenyataan semalam berkata, rejim Zionis dan agensi kese­lamatannya termasuk Perkhid­matan Penjara Israel (IPS), bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian Nassar Taqataqa yang maut dalam sel soal siasat penjara.

Nassar, 31, berasal dari pekan Beit Fajjar, lapan kilometer selatan Baitullaham, meninggal dunia di Penjara Nitza, Ahad lalu.

Lapor Press TV, kenyataan itu kemudiannya menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) untuk membentuk suruhanjaya siasatan antarabangsa bagi menyiasat punca kematian Nassar serta menyediakan perlindungan undang-undang dan politik kepada tahanan Palestin di penjara Israel.

“Sikap tidak peduli masyarakat antarabangsa, organisasinya dan majlis-majlis khas terhadap pelanggaran serta jenayah Israel menggalakkan rejim Zionis untuk terus mela­kukan kekejaman seperti itu.

“Kematian Nassar dalam sel soal siasat menuntut tindakan segera oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menjalankan siasatan rasmi terhadap jenayah Israel bagi meneruskan pendakwaan ke atas jenayah perang rejim Zionis,” kata kenyataan tersebut.

Menurut Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Qadri Abu Bakr, rejim Zionis menahan Nassar bulan lalu selepas menyer­bu rumah keluarganya.

Nassar kemudiannya dipindahkan ke penjara Kishon, turut dikenali sebagai pusat tahanan al-Jalame untuk disoal siasat sebelum dia diletakkan di sel pe­ngasingan di Nitzan.

Sementara itu, tahanan Pa­lestin di penjara Israel bersiap sedia untuk berkonfrontasi de­ngan IPS selepas kematian Nassar diumumkan.

Lapor Wafa, tahanan Palestin melaungkan nama Allah dan mengetuk pintu-pintu sel penjara ketika mereka mendengar berita kematian Nassar.

Dalam perkembangan ber­kaitan, rejim Zionis telah menahan 2,759 rakyat Palestin dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, termasuk 446 kanak-kanak dan 76 wanita termasuk 500 orang dikenakan tahanan pentadbiran.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Persatuan Tahanan Palestin dan Addameer dalam satu kenyataan bersama berkata, seramai 5,500 rakyat Palestin telah ditahan di penjara Israel sehingga 30 Jun lalu, termasuk 43 wanita dan 220 kanak-kanak. – AGENSI