Serangan hari ini mensasarkan Pyin Oo Lwin, bandar pelancong berhampiran Mandalay, yang juga menjadi kem latihan tentera.

Seorang wartawan AFP yang berada di pos polis, salah satu lokasi kejadian serangan itu melaporkan terdapat mayat tujuh anggota tentera dan empat anggota polis.

Jurucakap tentera Brigadier Jeneral Zaw Min Tun berkata, tiga lagi orang iaitu dua anggota tentera dan seorang penduduk terbunuh dalam serangan tersebut.

Katanya, pertempuran itu masih berterusan.

Salah satu daripada lima serangan itu menyasarkan Akademi Teknologi Pertahanan di Pyin Oo Lwin, di mana jurutera dan tentera diberi latihan.

Menurut tentera, kumpulan pemberontak telah melakukan serangan dengan melancarkan 107mm roket ke arah akademi tentera berhampiran kawasan bukit.

Dalam pada itu, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu dan melakukannya sebagai tindak balas.

Jurucakap TNLA, Mejar Mai Aik Kyaw turut mengesahkan serangan itu telah dilakukan bersama Perikatan Tentera Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) dan Tentera Arakan (AA). – AFP.