Lapor Press TV, Menteri Luar Jerman, Heiko Maas berkata, video tersebut yang dikeluarkan Pusat Pemerintah Tentera AS (CENTCOM), semalam tidak cukup membuktikan dakwaan Washington yang menuduh Teheran sebagai dalang tersebut.

“Video itu sahaja tidak cukup. Ya, kita faham apa yang dipaparkan tetapi bagi saya itu belum memadai untuk kita membuat kesimpulan akhir,” katanya, semalam.

Penasihat kepada Ketua Polisi Luar Eropah Federica Mogherini, Nathalie Tocci pula menolak dakwaan AS itu dan menekankan perlunya bukti kukuh sebelum sebarang tuduhan dilakukan.

“Iran bertindak rasional, untuk menyerang sebuah kapal milik Jepun ketika Perdana Menterinya berada di Teheran adalah satu tindakan yang tidak rasio­nal,” ujarnya.

Dalam video tersebut, sebuah bot dirakam bergerak menghampiri kapal tangki Jepun sebelum seorang individu yang berada di atas bot berkenaan memindahkan sesuatu objek yang didakwa AS sebagai periuk api.

Dakwaan AS itu bagaimanapun ditolak pengendali kapal tersebut dan Presiden Kokuka Sangyo, Yukata Katada semalam yang memberitahu salah seorang anak kapal Kokuka Cou­rages ternampak objek terbang sebelum berlaku kebakaran.

“Anak kapal memberitahu terlihat sesuatu objek yang dilepaskan dari udara sebelum mereka mengesan sebuah lubang di atas kapal,” katanya.

Kesahihan video berkenaan turut dipersoal wartawan penyi­asatan Barat serta penganalisis pertahanan yang mempertikaikan mengapa video itu tidak memaparkan situasi sebelum objek dipindahkan dari bot kepada kapal berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, AS akan mengerahkan lebih ramai tenteranya ke Teluk Parsi sebagai persediaan terhadap lebih banyak ancaman dari Iran.–AGENSI