Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe mengutuk dan menyifatkan serangan tersebut yang merupakan terburuk sejak berakhirnya perang saudara Sri Lanka sedekad lalu, sebagai ‘pengecut’.

Letupan kuat, enam secara berturut-turut dan dua lagi beberapa jam kemudian, menyebabkan kemusnahan dahsyat termasuk gereja Katolik bersejarah St. Anthony, ketika penganut Kristian menghadiri perayaan Easter.

Al-Jazeera melaporkan, letupan pertama berlaku di Gereja St. Anthony diikuti letupan lain dalam tempoh setengah jam kemudian pagi ini.

Dua lagi gereja yang menjadi sasaran serangan adalah St. Sebastian di Negombo, kira-kira 30 kilometer dari sini dan sebuah lagi di Batticaloa, 250 kilometer dari timur Colombo.

Tiga letupan berlaku di hotel terkemuka - Cinnamon Grand, Kingsbury dan Shangri-La - ketiga-tiganya di tengah-te­ngah Colombo, mengorbankan sekurang-kurangnya 35 warga asing termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Belanda dan Portugal.

Ini diikuti letupan ketujuh di hotel dekat dengan Zoo Negara di sini serta letupan kelapan di sebuah rumah di pinggir Orugodawatta, utara Colombo, didakwa dilakukan pengebom bunuh diri yang mengorbankan tiga anggota polis.

Sumber keselamatan memberitahu, dua daripada sera­ngan bom berkenaan dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

Kementerian Pertahanan memaklumkan, setakat ini tujuh suspek ditahan susulan sera­ngan tersebut.

Menteri Muda Pertahanan, Ruwan Wijewardene berkata, kerajaan mengumumkan perintah berkurung dikuatkuasakan serta-merta di seluruh negara sehingga notis lanjut dikeluarkan.

Terdahulu, Menteri Pembaharuan Ekonomi dan Agihan Awam, Harsha de Silva berkata, beliau berada di Gereja St. Anthony ketika kejadian yang digambarkan sebagai ‘mengerikan’.

“Saya melihat bahagian tubuh manusia di me­rata tempat, ramai yang cedera termasuk orang asing,” katanya seperti dipetik melalui Twitter miliknya.

Kira-kira enam peratus penduduk Sri Lanka adalah pe­nganut Katolik, dan agama itu dilihat sebagai penyatuan orang Tamil dan kumpulan etnik majoriti Sinhalese. – AFP/AGENSI