Seperti mengikut jejak Anning, Kelly mencetuskan kontroversi apabila menghina golo­ngan wanita yang berbadan besar dan ‘menyamakan’ al-Quran de­ngan tisu tandas.

Satu jam selepas beli­au diumumkan sebagai ca­lon pada Jumaat lalu, Kelly berkongsi artikel ber­kaitan dakwaan serangan Muslim terhadap gereja di Perancis berserta komen berbaur Islamofobia.

“Minyak dan air seme­mang­nya tidak boleh bercampur. Tidak kira seberapa banyak kamu mahukannya dicampurkan,” katanya seperti dipetik oleh portal Daily 10.

Halaman Facebook periba­dinya turut menunjukkan be­berapa hantaran anti-Is­lam dan kebencian terhadap wanita.

Pada Jun 2017, beliau menggunakan nama Peter James memuat naik watak pembunuh bersiri daripada filem seram Australia, Wolf Creek dengan senjata di belakang trak dan tertera perkataan: “Jadi, kamu Muslim sedang mencari tempat yang selamat?”

Selain itu, pada Jun 2015, Kelly memuat naik imej kartun seorang lelaki sedang duduk di tandas sambil memegang buku berserta ayat menghina al-Quran.

Beliau berkongsi semula gambar tersebut pada 2017.

Malah, dalam salah satu han­tarannya, Kelly berkata, beliau ti­dak kisah untuk menyakitkan hati orang Islam dan turut mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW.

Kelly juga sering berkongsi hantaran diskriminasi terhadap wanita.

Pada Mei 2015, beliau memuat naik gambarnya bersama aktres, Amber Rose berserta kap­syen: “Seseorang dalam industri fesyen memutuskan wanita bertubuh besar adalah cantik. Mereka tidak cantik.”

Beliau merupakan veteran perang Australia dan telah berkhidmat selama 25 tahun.

Kelly dikatakan seorang yang sering lompat parti. Beliau sebelum ini bernaung di bawah Parti One Nation sebelum beralih ke Parti United Australia.

Beliau juga pernah bertan-ding kerusi Persekutuan Bradfield ketika pilihan raya umum 2016 untuk Pakatan Kebebasan Australia sebelum menyertai Parti Konservatif Kebangsaan pimpinan Anning.

“Saya akan merampas kerusi Cook daripada Perdana Menteri, Scott Morrison. Ini hanya pernah dilakukan beberapa kali dalam sejarah Australia. Doakan saya berjaya,” jelasnya.

Jumaat lalu, Anning membuat kenyataan mahu mengharam­kan kemasukan imigran Islam dan berkulit hitam ke negara ini.

Sikap kurang ajarnya terhadap Islam mendapat cemuhan pelbagai pihak, lebih-lebih lagi kenyataan mengenai serangan pengganas di Christchurch, New Zealand.

Selain dikecam teruk di Parlimen, Anning dimalukan seorang remaja, Will Connolly yang menghempuk kepala Senator itu dengan telur kerana kenyataan biadab tersebut.

Bintang ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams turut mengecam Anning.