CNN Indonesia melaporkan, Abdul Somad berkata, beliau hanya menyampaikan apa yang diajar dalam agama Islam kepada penganutnya dan bukan untuk umum.

“Saya menjelaskan akidah agama saya kepada jemaah Islam di dalam masjid.

“Jika ada yang tersinggung dengan penjelasan saya, apakah mesti meminta maaf,” soal Abdul Somad di sini semalam.

Video yang merakamkan Abdul Somad memperkatakan tentang salib tular dalam media sosial sehingga laporan polis dibuat terhadap penceramah itu.

Ketika ditanya jemaah Masjid An-Nur, Pekanbaru tiga tahun lalu, Abdul Somad menerangkan bahawa, Rasulullah SAW menyatakan salah satu tempat yang didatangi jin adalah patung.

“Contohnya, dalam Islam dikatakan sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan Allah itu tiga dalam satu, satu dalam tiga.

“Secara automatik orang luar tersinggung atau tidak, apa perlu saya minta maaf. Ini ajaran saya,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Somad memberitahu, beliau tidak mungkin melarang jemaah merakam video dan menyebarkannya dalam media sosial. – AGENSI