Channel News Asia yang memetik Setiausaha Kementerian Luar, Teodoro L. Locsin Jr. sebagai berkata, surat pekeli­ling itu telah dikeluarkan malam semalam dan mereka dijangka pulang ke Filipina dalam masa terdekat.

“Kami telah memberi tarikh sehingga semalam agar Kanada mengambil semula sampah-sampah tersebut namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.

“Hubungan diplomatik kedua-dua negara kemungkinan menjadi sedikit renggang sehingga Kanada mengambil semula sampah berkenaan,” katanya.

Pada bulan lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengumumkan Manila akan mengisytiharkan perang terhadap Kanada jika Ottawa tidak mengambil semula sampah yang dibuang ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 103 kontena mengandungi 2,450 tan sampah dibawa masuk ke negara ini pada 2013 dan 2014 dan dilabelkan sebagai plastik kitar semula.

Namun siasatan penguat kuasa mendapati sampah ber­kenaan mengandungi botol air, lampin pakai buang dan barang-barang yang tidak boleh dikitar semula.

Pada 2016, Mahkamah Fili­pina memerintahkan kesemua sampah itu dihantar semula ke Kanada.

CNN Filipina sebelum ini melaporkan, sampah-sampah tersebut dibawa masuk ke Fi­lipina oleh sebuah syarikat milik Kanada.

Bagaimanapun pada minggu lalu, Manila mengumumkan Kanada bersetuju untuk ‘me­ngangkut’ 69 kontena sampah yang dikatakan dihantar ke Manila secara tidak sengaja.

Isu ini mencetuskan ketega­ngan kedua-dua negara apabila pada tahun lalu Duterte meng­arahkan pasukan ketenteraan untuk membatalkan pembelian 16 buah helikopter berjumlah AS$233 juta (RM969 juta) dari Kanada selepas Ottawa menyatakan kebimbangan pesawat itu mungkin digunakan untuk tujuan memerangi pemberontak.