Channel News Asia melaporkan, beliau bagaimanapun tidak akan meletak jawatan biarpun banyak pihak menggesa supaya pemimpin itu melepaskan jawatannya.

“Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan RUU tersebut, memulakan semula komunikasi dengan semua sektor masyarakat, kerjasama dan mendengar pelbagai pandangan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, media Hong Kong hari ini melaporkan bahawa kerajaan akan menangguhkan RUU tersebut yang telah mencetuskan bantahan secara besar-besaran sehingga menyebabkan rusuhan ganas di seluruh wilayah ini Ahad lalu.

Lam dilaporkan tidak membuat kemunculan atau mengeluarkan sebarang kenyataan sejak Rabu lalu, beberapa hari selepas tunjuk perasaan tersebut berlaku.

Menurut Lam, pembuat dasar akan menghentikan semua proses ke arah pelaksanaan RUU itu serta merta.

Langkah seterusnya akan diputuskan selepas rundingan dengan pelbagai parti dijalankan.

“Kami tidak berniat untuk menetapkan tarikh akhir kepada usaha ini dan berjanji untuk melapor dan berunding dengan anggota panel majlis perundangan tentang keselamatan sebelum memutuskan langkah seterusnya,” kata Lam.

Dalam pada itu, anggota le­gislatif Hong Kong, Michael Tan memaklumkan bahawa adalah mustahil untuk RUU tersebut ditarik semula.

Hal ini kerana katanya, RUU itu disokong oleh kerajaan Pusat dan sekiranya penarikan semula dibuat, ia bakal menunjukkan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Pusat adalah salah.

“Perkara ini tidak akan berlaku di ‘satu negara, dua sistem’,” katanya sambil merujuk kepada Hong Kong sebagai wilayah separa autonomi.

Sementara itu, pihak penganjur tunjuk perasaan besar-besaran minggu lalu merancang untuk mengadakan satu lagi demonstrasi serupa, esok.

Selain bertujuan terus membantah pelaksanaan RUU tersebut, protes berkenaan juga dilakukan bagi mendesak pihak bertanggungjawab berhubung cara mereka mengawal tunjuk perasaan sebelum ini.

Protes itu dianggap senario politik terburuk pernah dialami Hong Kong selepas Britain menyerahkan kembali pentadbiran Hong Kong kepada China pada 1997. – AGENSI