Channel News Asia melaporkan, dua pesawat Rusia dan Ukraine masing-masing membawa 35 banduan mendarat se­rentak di Moscow dan Kiev.

Menurut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pihaknya mengambil langkah pertama bagi menamatkan konflik berkenaan melalui langkah tersebut.

"Kita perlu mengambil semua langkah untuk menamatkan peperangan buruk ini," katanya selepas bertemu dengan banduan itu.

Antara banduan Ukraine adalah 24 tenteranya, pembuat filem, Oleg Sentsov dan wartawan Ukraine-Rusia, Kyrylo Vyshynsky.

Terdahulu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan pertukaran itu merupakan 'langkah besar ke arah menjernihkan hubungan' dengan Kiev.

Bagi pihak Rusia pula, banduan terlibat adalah seorang pemisah yang dianggap sebagai saksi utama insiden tembakan pesawat MH17, Vladimir Tsemakh meskipun rayuan dibuat Belanda untuk menghalangnya.

Tsemakh dilapor bertanggungjawab mengurus pertahanan udara di kawasan itu, lokasi MH17 ditembak jatuh.

Sementara itu, Menteri Luar Belanda, Stef Blok memberitahu, kerajaannya telah menghubungi Ukraine 'beberapa kali dan pada peringkat paling tinggi' untuk cuba menghalang pertukaran Tsemakh.

Jelasnya, pihak berkuasa mempunyai peluang untuk menyoal Tsemakh sebelum dia dibawa ke Rusia namun keputusan akhirnya amat dikesali.

Hubungan Kiev-Moscow jatuh ke tahap terburuk pada 2014 selepas Rusia menduduki Crimea dan Moscow menyokong pemisah di wilayah perindustrian timur Donetsk dan Lugansk.

Peperangan itu meragut lebih 13,000 nyawa sejak lima tahun lalu. – AGENSI