Sambutan sebegini memberi peluang kepada anak perantauan untuk menikmati masakan Malaysia, khususnya pada musim perayaan selain dapat beramah mesra dan mengeratkan silturahim.

Vittaya Boon, pelajar Malaysia yang mengikuti Ijazah Sarjana di Universiti Naresuan menaiki van untuk menghadiri “Aidilfitri Gathering” anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand hari ini.

Pelajar bidang Environmental Science itu memulakan perjalanan pada jam 7 pagi (waktu tempatan) dengan menaiki van dari daerah Phitsanulok ke Bangkok yang perjalanannya mengambil masa empat jam untuk menghadiri majlis “Rumah Terbuka” itu.

“Kerana merindui masakan tradisional Malaysia sempena Aidilfitri, saya menaiki van untuk menghadiri majlis itu,” katanya kepada Bernama.

Pelbagai juadah seperti rendang, soto, nasi briyani dan kuih raya turut dihidangkan untuk para hadirin dan selain itu, lagu Raya turut berkumandang untuk memeriahkan sambutan Rumah Terbuka.

“Saya berasa seperti berada di tanah air sendiri apabila saya menghadiri perjumpaan Aidilfitri di sini hari ini, “ kata Jerald Choi Mun Jet, pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Chulalongkorn.

Pelajar ijazah Sarjana itu berkata suasana sambutan Hari Raya di Malaysia dan Thailand amat berbeza.

“Apabila anda berada di perantauan, anda akan rindu sambutan Hari Raya yang begitu meriah di tanah air, dimana semua rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama akan hadir Ruman Terbuka,” katanya.

Bagi pelajar yang mengikuti ijazah doktor falsafah di Universiti Chulalongkorn, Muhammad Imran Azman, Aidilfitri Gathering itu memberi peluang untuk beramah mesra dengan rakyat Malaysia di perantauan untuk mengeratkan silaturahim.

Pelajar bidang Sains Polimer dalam Petroleum and Petrokimia itu yang pertama kali menyambut raya di perantaun berkata beliau berasa sedih pada hari pertama Raya kerana tidak dapat meraikannya bersama keluarga kerana terpaksa menghadiri kelas.

“Saya berasa sedih apabila ahli keluarga dan kawan-kawan di Malaysia menghantar ucapan Selamat Hari Raya dan saya terpaksa menghadiri kelas ketika itu.

“Namun, Aidilfitri Gathering hari ini memberi peluang kepada anak perantauan yang tidak dapat pulang untuk sambut raya merasai kemeriahan seperti di Malaysia serta menikmati Rendang dan Satay,” katanya.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isteri, Datin Catherina Cherian Samuel turut menyampaikan duit Raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Jojie berkata Aidilfitri Gathering memberi peluang kepada semua hadirin khususnya warga Thailand untuk melihat sendiri sambutan Hari Raya di Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami terkenal dengan budi bahasa. Kami seronok mengadakan rumah terbuka untuk rakan-rakan menyertai kami menyambut perayaan. Ini akan memupuk perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya. -BERNAMA