Portal Daily Mail yang memetik New York Times melaporkan, sistem itu dibangunkan oleh penyelidik dari Allen Institute for Artificial Intelligence di Seattle, Washington yang berjaya memecahkan kod ujian berkomputer.

Sistem yang dinamakan Aristo itu berjaya memperoleh markah sebanyak 90 peratus untuk ujian Sains gred lapan serta lulus dengan markah 80 peratus bagi peperiksaan gred 12.

Kejayaan itu menandakan perubahan besar setelah hampir 700 saintis komputer gagal mencipta sistem yang mampu lulus peperiksaan seperti itu, empat tahun lalu apabila hanya mencatatkan 60 markah sahaja.

Kemajuan besar dalam teknologi AI bukan hanya mening­katkan keupayaan Aristo untuk memahami bahasa malah membantu menggunakan logik yang serupa seperti manusia untuk menyelesaikan masalah kompleks.

Perkara itu termasuk pelbagai kebolehan seperti memahami isu kebakaran hutan, bagaimana ia menjejaskan populasi haiwan, bekalan makanan dan mempertimbangkan jawapan pelbagai pilihan yang sesuai.

Meskipun sistem tersebut direka khas untuk mengambil ujian, penyelidik berkata, sistem AI mungkin mempunyai implikasi praktikal dalam bidang enjin carian dan sistem lain melibatkan pengendalian pertanyaan pengguna seperti pangkalan data rekod di hospital.

“Apa yang saya boleh katakan adalah kita bakal melihat produk generasi baharu, sebahagiannya daripada syarikat permulaan dan selebihnya daripada syarikat besar,” kata bekas pensyarah University of Washington, Oren Etzioni.

Menurut laporan The Times, penyelidik mencipta Aristo menggunakan teknologi berbeza yang dibangunkan oleh Google, iaitu Bert.

Bert direka untuk mengimbas beribu-ribu penyertaan Wikipedia pada buku dan artikel yang ditulis oleh manusia dan mampu memperbaiki dirinya seperti mesin pembelajaran algoritma lain. – AGENSI.