Saudi Gazette memetik akhbar Al-Eqtisadiah melaporkan, pengeluaran e-visa tersebut dibuat mengikut rangka kerja set peraturan kelulusan terma­suk pembayaran pendahuluan caj visa umrah menggunakan sistem pembayaran elektronik sebelum kedatangan jemaah.

Kementerian itu menekankan bahawa, pengeluaran visa elek­tronik bagi umrah melibatkan ejen asing dan penyedia perkhidmatan umrah Arab Saudi yang mengguna pakai program termasuk pakej perkhidmatan serta pengesahan tiket pulang.

Mengikut peraturan itu, prosedur tersebut termasuk pendaftaran maklumat jemaah oleh ejen asing, mengisi borang permohonan atas talian berserta dokumen dan dihantar ke syarikat umrah bagi memudahkan prosedur terbabit.

Kata kementerian itu, selepas nombor rujukan permohonan berkenaan dikeluarkan, ia akan dimuat naik dalam portal Kementerian Hal Ehwal Luar untuk melengkapkan pengeluaran visa.

Tambahnya, penyedia perkhidmatan umrah dan ejen asing perlu meneliti data yang didaftarkan dan memasukkan data pasport menggunakan mesin pengimbas.

“Ejen asing dan syarikat umrah akan dipertanggungjawabkan jika berlaku percanggahan data pasport yang mana penal­ti termasuk pembatalan lesen akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan itu,” kata Kementerian Haji dan Umrah, semalam.

Sementara itu, pakar ekonomi dalam aspek haji dan umrah, Ahmed Bafaqih berkata, langkah mengeluarkan visa umah secara elektronik adalah selaras dengan Visi 2030 Arab Saudi bagi memudahkan perlaksanaan umrah kepada semua Muslim dari seluruh dunia.

"Prosedur mengawal pengeluaran visa itu meletakkan syarikat umrah lebih cepat dan baik dalam berhadapan perubahan pantas global melalui penggunaan teknologi, mengatasi semua halangan dan memudahkan jemaah," jelasnya. – AGENSI