Demikian kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Mahmoud Nakhleh ketika remaja Palestin berusia 18 tahun itu menyertai protes terhadap Israel di bandar Ramallah, wilayah Tebing Barat, semalam.

Portal al-Jazeera melaporkan, kematian Mahmoud disahkan oleh Kementerian Kesihatan Pa­les­tin.

Mahmoud ditembak di bahagian abdomen ketika melakukan protes di kem pelarian al-Jalazun.

Menurut laporan agensi beri­ta Maan, selepas ditembak, rejim Zionis cuba menarik mangsa untuk ditahan namun pasukan perubatan Palestin berjaya me­larikan remaja berkenaan dan dibawa ke hospital selepas berlaku pertempuran yang berlanjutan lebih 30 minit.

Mahmoud disahkan meninggal dunia di hospital.

Seorang saksi di kem terbabit, Fadwa Safi berkata, Mahmoud diheret oleh rejim Zionis dan kemudiannya dipukul.

“Saya keluar dari rumah dan melihat mereka mengheret dan memukulnya ketika dia me­ngalami kecederaan. Empat tentera mengheretnya.

“Saya mengejar mereka. Me­re­ka cuba membaling bom ta­ngan ke arah sa­ya dan menga­rahkan saya pulang ke ru­mah tetapi saya eng­gan. Saya mahu menyelamatkan remaja tersebut kerana dia masih hidup. Mereka mencampaknya ke ta­nah,” kata Fadwa.

Seorang lagi remaja berusia 13 tahun cedera ditembak di bahagian kaki ketika menyertai protes di penempatan haram Yahudi di Beit El, pinggir Ramallah.

Tentera Israel mengesahkan kepada CNN bahawa mereka menggunakan semburan api bagi menyu­raikan tunjuk pera­saan.

Dalam perkemba­ngan lain, Australia mencetuskan kontroversi apabi­la sah mengiktiraf Bai­tulmuqaddis Barat sebagai ibu kota Israel.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison bagaimanapun berkata, pemindahan bangunan kedutaan ke wilayah itu tidak akan berlaku sehingga rundingan damai Palestin-Israel dicapai.

Sementara itu, rejim Zionis memusnahkan rumah penduduk Palestin yang didakwa membunuh tentera Israel.

Menurut rejim, Islam Abu Humaid membaling pinggan marmar seberat 18 kilogram dari bumbung, membunuh Ronen Lubarsky, 20, ketika serbuan di kem pelarian El Amari di Ramallah­ pada Mei lalu.

Tentera Israel dilihat tiba di kem El Amari sebelum subuh hari ini sebelum mengepung rumah empat tingkat milik Islam Abu Humaid dan memusnahkannya. – AGENSI/AFP/reuters