Di bandar Bethlehem pula, tentera Zionis mengancam untuk memusnahkan lebih banyak rumah penduduk Palestin yang didakwa menentang rancangan jahat Israel membina penempatan haram Yahudi.

Malah menurut Pihak Berkuasa Suruhanjaya Banduan Palestin, tentera Israel sehingga kini telah menahan seramai 183 penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dalam tempoh lima hari ini, menjadikan jumlah yang ditahan sejak tercetusnya pertempuran menentang Zionis berbulan lalu mencecah 330 orang.

Demikian kekejaman demi kekejaman dilakukan oleh Israel yang secara konsisten dilaporkan oleh agensi berita Wafa dengan Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah menegaskan sudah tiba masanya rejim itu dipertanggungjawabkan atas segala tindakan mereka terhadap ‘penjajahan’ di wilayah milik Palestin.

“Komuniti antarabangsa perlu tampil mengambil langkah dan mekanisme sebenar dalam menyediakan perlindungan kepada rakyat Palestin yang menderita ekoran serangan dan pendudukan Israel setiap hari. Israel juga mempercepatkan peluasan projek penempatan kolonial mereka di tanah milik Palestin,” jelasnya dalam mesyuarat di Ramallah.

Terdahulu, Ayham Bassem Sabbah, 18, menjadi mangsa kekejaman terbaharu Zionis apabila dihukum penjara 35 tahun, malah dikenakan denda cukup tinggi, 1 juta shekels oleh Mahkamah Tentera Ofer.

Mahkamah memutuskan Ayham yang menetap di Kem Pelarian Qalandia atas dakwaan menyerang dua tentera Israel menyebabkan seorang mati manakala seorang lagi cedera di Kompleks Industri Shaare Benyamin pada 18 Februari 2016.

Jurucakap Polis Israel, Luba al-Samri berkata, serangan tersebut berlaku setelah Ayham bersama Omar Salim Rimawi, 14, menyelinap masuk ke perumahan Israel sebelum menikam dua tentera berkenaan.

Dalam kes berlainan, seorang wanita, Susan Abu Ghannam pula didakwa menggunakan rangkaian media sosial untuk menghasut dan dihukum penjara 11 bulan.

Susan merupakan ibu kepada seorang anak muda Palestin yang dibunuh tentera Israel pada tahun lalu.

Nasib penduduk di Bethlehem masih dalam keadaan kabur, apakah esok mereka masih memiliki tempat untuk berlindung atau menjadi mangsa dirobohkan oleh tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis.

Hal demikian kerana tentera Israel dengan penuh kekuatan bertindak merobohkan rumah seorang penduduk Palestin di bandar itu, yang kedua dalam tempoh 48 jam kerana menentang pembinaan penempatan haram Yahudi.

Tentera Israel yang bersenjata pada awalnya menyerbu kejiranan Shweikeh pada awal pagi dan menceroboh kediaman keluarga Ashraf Naalweh yang baru-baru ini dibunuh selepas disyaki membunuh dua peneroka haram Israel di Tebing Barat dua bulan lalu.

Penduduk yang berang membaling batu ke arah tentera Israel namun pihak rejim membalas tindakan itu dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah menyebabkan beberapa penduduk cedera.