Suruhanjaya tersebut akan meneliti semua aspek yang mencetuskan serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood oleh seorang suspek warga Australia.

JACINDA ARDERN
JACINDA ARDERN

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebelum ini menyatakan, suruhanjaya tersebut penting untuk memastikan tragedi berdarah itu tidak berulang di negara ini.

Suruhanjaya itu diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi, William Young dan bekas diplomat Jacqui Caine.

Badan siasatan ber­kenaan dijangka membentangkan hasil laporannya menjelang 10 Disember ini.

Pasukan perisikan New Zeland sebelum ini berdepan kecaman hebat susulan serangan tersebut kerana agensi itu didakwa hanya menumpukan risiko ancaman oleh kumpulan Daesh dan tidak memandang serius mengenai kegiatan pelampau kulit putih.

Kesemua 51 mangsa yang terkorban dalam dua serangan tersebut adalah komuniti Islam yang menetap di negara ini dan sera­ngan itu dilancarkan kerana suspek memegang ideologi negara Barat akan ‘ditawan’ oleh Islam.

Suspek, Brenton Tarrant, 28, didakwa melakukan kedua-dua serangan tersebut dan kini menjalani ujian psikologi bagi memastikan dia mengalami masalah mental atau tidak sebelum dibicarakan.

Selain itu, suruhanjaya tersebut akan meneliti semua aktiviti yang dilakukan oleh Tarrant sebelum melancarkan serangan termasuk bagaimana dia memperoleh lesen memiliki senjata api, peluru dan penggunaannya dalam media sosial.

Sejak insiden tersebut, kerajaan New Zealand mengambil langkah memperketatkan undang-undang senjata api dan giat mengkaji garis panduan mengenai ucapan jenayah kebencian serta mendesak supaya rang­kaian media sosial membanteras penyebaran maklumat keganasan secara dalam talian. – AFP