Daily Mail melaporkan, hanya kerana nakal dan mengganggu barang peribadi wanita itu, kanak-kanak yang dikenali sebagai Stas itu diperlakukan seperti tahanan di rumahnya sendiri selain dibelasah dengan kayu.

Ibu angkat kanak-kanak itu, Anna Zhitnik sebelum ini dikenali sebagai seorang ibu yang penyayang sebelum kisah penderaannya terbongkar.

Stas yang tidak tahan terus menjadi mangsa penderaan, baru-baru ini mengadu kepada jiran-jirannya mengenai layanan ibu angkatnya itu sebelum mereka melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Bertindak atas maklumat, polis memecahkan pangsapuri mangsa dan mendapati Stas yang dirantai lehernya pada sebuah kerusi sedang duduk di atas lantai dengan matanya ditutup kain, mulut dilekatkan pita pelekat dan tangan serta kakinya diikat.

Polis yang terkejut kemudiannya membebaskan budak lelaki itu dan membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum menahan suspek berusia 56 tahun tersebut di sekolah.

Wanita itu berdepan hukuman penjara selama 10 tahun jika disabitkan dengan beberapa pertuduhan termasuk mendera, menyeksa dan mengabaikan kanak-kanak selain dikenakan pe­rintah tahanan rumah selama dua bulan.

Jurucakap polis memberitahu, selain mangsa, dua lagi adik-beradik mangsa yang berusia enam dan 13 tahun kini ditempatkan di pusat kebajikan dan pemulihan psikologi. – AGENSI